Apabila Zaid Ibrahim, bekas menteri undang-undang dan terakhir merupakan ahli DAP, mengumumkan untuk berhenti menulis di blognya yang diwujudkannya sejak sembilan tahun lalu dan tidak lagi mahu terlibat dengan mana-mana parti, pembaca dan mereka yang meminati buah fikirannya pasti terasa kehilangannya.
Meskipun tidak semua orang setuju dengan pendapat dan buah fikirannya, malah ramai yang sukar memahaminya, Zaid adalah seorang yang jujur dalam luahan fikiran dan tindakannya.
Beliau tidak memiliki dua wajah - lain ditulis lain perbuatan dan bagaimana progresif pemikiran serta arah tujunya dalam tulisan, begitulah juga kehidupan dan caranya ketika berurusan atau berbual-bual dengan orang lain.
Punca yang menyebabkan beliau berhenti menulis ialah berikutan tulisannya mengenai Tun Daim Zainuddin dan rakan-rakan bilionairenya yang diperkatakan ramai mengatur perjalanan negara ini telah tidak disenangi oleh Lim Guan Eng yang kemudian memintanya menarik balik tulisan tersebut.
Hakikatnya, tiada apa yang salah dan tidak wajar dalam tulisan Zaid itu sehingga Guan Eng perlu memintanya untuk menarik balik kerana ia adalah berdasarkan apa yang diperkatakan oleh orangramai.
Lagi pun, bukankah kerajaan sekarang mengamalkan ketelusan dan keterbukaan?
Jika ada yang tidak betul atau tidak tepat, Guan Eng sepatutnya menjelaskannya dengan fakta dan bukannya meminta tulisan itu ditarik balik.
Lagi pun perkara berkaitan Tun Daim itu adalah isu yang dibualkan di mana-mana, dari kedai kopi di kaki lima hinggalah coffee house di hotel berbintang lama, waima dalam Bersatu pun tidak kurang ramai yang bercakap mengenainya.
Barangkali kerana diminta menarik balik tulisannya itulah yang membuatkan Zaid berada kecil hati dan berkata, “sukar sebenarnya untuk berlaku jujur tanpa menyinggung perasaan orang lain”.
Beliau sebenarnya bukanlah menulis isu tersebut kecewa kerana tidak bertanding atau tidak diberikan apa-apa jawatan selepas Pakatan Harapan berjaya menubuhkan kerajaan.
Ini kerana beliau memiliki kehidupan yang boleh dikatakan hampir sempurna hasil kerja kerasnya sebagai peguam dan menubuhkan syarikat guamannya sendiri sebelum ini.
Cuma, Zaid cuba untuk berlaku jujur dengan menegur kerajaan Pakatan Harapan dan berharap mereka akan menangani apa juga isu yang diperkatakan di peringkat bawahan.
Ramai yang tidak tahu barangkali, selain banyak menulis untuk membantu Pakatan Harapan dan melemahkan UMNO dan Najib Razak di blognya sejak sekian lama, Zaid juga sebenarnya selalu dipanggil secara peribadi oleh Tun Mahathir untuk berbincang pelbagai perkara sebelum PRU14 yang lalu.
Sekurang-kurangnya dua minggu sekali atau sebulan sekali, beliau pasti akan mengadap Tun Mahathir untuk berbincang pelbagai perkara dengan Pengerusi Pakatan Harapan itu.
Tun Mahathir nampaknya selesa untuk berbincang dan bertukar-tukar fikiran dengan Zaid kerana kedua-dua mereka ada persamaan dari segi keprogresifan, kemodenan dan bagaimana negara dan masyarakat harus dipandu, dibawa serta dimajukan menuju destinasi yang lebih baik.
Sebab itu, sebaik Tun Mahathir melancarkan Deklarasi Rakyat dan menghimpunkan tandatangan sebagai satu cara untuk memberi tekanan kepada Najib, beliau kemudian bersetuju dengan cadangan Zaid untuk mengadakan suatu perhimpunan Kongres Rakyat di Shah Alam pada 27 Mac 2016 yang dihadiri oleh semua pemimpin utama Pakatan Harapan.
Ia adalah perhimpunan pertama yang diadakan secara besar-besaran yang dihadiri Tun Mahathir dengan kejayaan menggembleng semua tenaga utama parti-parti pembangkang ketika itu.
Sebelum itu, pada tahun 2015 ketika pertama kali Tun Mahathir turun ke perhimpunan Bersih dan belum begitu mesra dengan DAP dan PKR, Zaidlah juga yang diajak sebagai penemannya.
Selain itu, meskipun ketika beliau sudah mengetahui namanya tidak dicalonkan untuk bertanding dalam PRU14 lalu, Zaid tetap kerap turun untuk berkempen dan berceramah di merata-rata tempat di seluruh negara.
Di Kelantan saja, beberapa kali beliau turun dan menganjurkan program ceramah di sana.
Di Johor sendiri, negeri yang sepatutnya beliau bertanding, Zaid masih kerap turun membantu rakan-rakan Pakatan Harapan sehingga ke saat-saat akhir sebelum pilihanraya diadakan, walaupun ketika itu namanya sah telah diketepikan.
Dengan berhentinya Zaid menulis, bahkan mungkin tidak mahu lagi bercakap jika media ingin menemubualnya, Pakatan Harapan sebenarnya kehilangan seorang yang cerdas dan tangkas daya pemikiran dari segi berhujah atau menjawab isu-isu politik semasa dalam negara.
Tentu saja Tun Mahathir sekarang ini tidak perlu lagi memanggilnya seperti dahulu untuk meminta pendapat, berbincang atau menemaninya, tetapi sejarah tidak mungkin melupai sumbangannya selama ini.
Walau tidak didendang, tidak mustahil juga akan terus dilupakan, tetapi sejarahnya tidak mungkin boleh dipadamkan. (ShahbudinHusin 12/11/2018)