Azmin perlu hormati proses pemilihan – Anwar
Bakal Presiden PKR, Anwar Ibrahim mengingatkan Mohamed Azmin Ali supaya menghormati proses pemilihan parti itu.
Mengulas tindakan timbalan presiden itu yang mengumumkan bahawa dirinya berjaya mempertahankan jawatannya selepas menewaskan Rafizi Ramli, katanya, Azmin perlu menghormati Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP).
“Dia ada hak untuk sebut. Tetapi dia pun tahu yang umumkan itu ialah JPP.
“Dan kita patut hormat proses,” kata beliau ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Semalam, Azmin mengumumkan kemenangannya dalam pemilihan parti kali iniwalaupun berhadapan cabaran sengit dari Rafizi Ramli.
Dalam suatu kenyataan yang ditandatangani beliau sebagai timbalan presiden PKR bagi penggal 2018 ke 2021, Azmin mengucapkan terima kasih kepada penyokongnya kerana meneruskan “agenda sebenar reformasi.”
Sementara itu, Rafizi yang juga bekas MP Pandan pula masih lagi tidak berputus asa berharap akan menang pertandingan kali ini.
Menurut keputusan tidak rasmi yang diselaraskan Malaysiakini, Azmin kini memiliki 67,449 undi berbanding Rafizi yang mendapat 62,716 undi. Majoriti itu sebanyak 4,733 undi.
Walau bagaimanapun, masih terdapat beribu-ribu “undi ragu” yang masih belum ditambah pada pengiraan.
Kategori pemilih ini merujuk kepada mereka yang layak untuk mengundi dan tidak dapat memastikan saluran undinya, tetapi dibenarkan mengundi.
Ibu pejabat PKR akan berhadapan tugas sukar untuk mengesahkan “undi ragu” sebelum Jumaat ini, iaitu hari permulaan kongres perwakilan nasional tahunan PKR selama tiga hari.
Selain itu, beberapa cabang seperti di Julau dan Tawau dikatakan mungkin mengadakan pemilihan semula.
Pemilihan PKR Cabang Julau Sabtu lalu terhalang oleh hujan lebat, yang membatasi kehadiran pengundi serta terdapat tuduhan serangan perisian hasad pada komputer yang digunakan untuk sistem e-undi, menyebabkan pemilihan di sana digantung pada sekitar jam 2 petang.
Sementara itu, di Tawau, terdapat dakwaan gangguan komputer membolehkan pemilih untuk mengundi beberapa kali.