Azmin menang, politik Anwar malap?
Kejayaan Azmin Ali mempertahankan jawatan timbalan presiden PKR akan memperkukuhkan parti reformasi itu dalam kerajaan, kata penganalisis.
Namun pada masa sama, pengaruh presidennya Anwar Ibrahim dijangka akan semakin berkurangan kerana hampir separuh jawatan dalam pelbagai peringkat parti itu dikuasai pemimpin kem Azmin.
“Kemenangan Azmin adalah lebih baik untuk Pakatan Harapan (PH). Dia dilihat dalam kerajaan sebagai seorang ahli yang setia, walaupun awal-awal dia menentang (pembentukan PH).
“Azmin sebagai menteri juga akan memperkuatkan hubungan dan dalam harapan mrmperkuatkan parti,” kata pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Tunku Mohar Tunku Mokhtar.
Turut sependapat dengannya, Awang Azman Awang Pawi yang berkata kedudukan Azmin boleh menggugat legasi Anwar.
Ini memandangkan, lebih separuh dari pemimpin dalam kem Azmin menang jawatan di peringkat pusat, kata Awang Azman.
Beliau juga melihat kedudukan Azmin semakin kuat dan sukar dicabar sejak menjadi timbalan presiden selama satu penggal.
Pengaruh ini akan menjadi semak dan imbang kepada Anwar yang tidak boleh buat sesuka hati dalam partinya, kata Awang Azman.
“Anwar tidak boleh melakukan (sesuka hatinya) sebagai pemimpin parti. Beliau akan dipantau. Kita dapat lihat dengan jelas sindiran parti anak bapa yang dimainkan.
“Sekiranya ia berterusan tidak mustahil legasi Anwar dan pengikutnya yang setia lama kelamaan akan semakin hilang dalam radar politik negara,” kata pensyarah sains politik Universiti Malaya itu.
Malah katanya, kemenangan Azmin juga akan membuatkan peluang puteri sulung Anwar, Nurul Izzah semakin tipis untuk meningkat naik dalam parti.
“Izzah kini berseorangan dari kem Rafizi yang menang dalam sebagai naib presiden. Tiga naib presiden kem Azmin sudah cukup kuat ditambah lagi dengan 15 jawatan MPP (Majlis Pimpinan Pusat),” katanya.
Hanya Nurul Izzah yang menyertai senarai empat calon dengan undi terbanyak dari kem Rafizi.
Tiga lagi jawatan naib presiden dimenangi pemimpin dari kem Azmin iaitu penyandang ketua Wanita Zuraida Kamaruddin dan dua penyandang naib presiden, Dr Xavier Jayakumar dan Tian Chua.
Untuk jawatan MPP, 15 calon kem Azmin terpilih ke jawatan tersebut dan baki lima lagi dimenangi calon kem Rafizi.
Pemimpin dari kem Azmin dilihat menguasai jawatan kanan PKR ketika pemilihan parti itu masuk fasa akhir minggu ini.
Selepas 14 negeri mengundi sejak 23 September lalu, Azmin yang menyandang jawatan timbalan presiden PKR itu mendahului lebih 5,000 undi mengatasi pencabarnya Rafizi.
Undi di Sabah dan Sarawak juga memihak kepada Azmin, masing-masing memberi majoriti 289 dan 2,135 undi kepadanya.
Jumlah itu bagaimanapun belum lengkap kerana satu undi di cabang Julau belum dikira kerana dakwaan kes serangan siber semasa pemilihan Sabtu lalu.
Kalangan pemimpin akar umbi PKR bagaimanapun melihat penguasaan kem Azmin dalam PKR sebagai satu perkembangan positif.
Bagi Ketua Penerangan PKR Perak Siti Aishah Shaik Ismail, beliau yakin gandingan Azmin akan melancarkan pentabdiran negara.
“Azmin akan gunakan segala kelebihan untuk dimanfaat parti dan anggota parti. Beliau juga ada pencapaian yang baik dalam kerajaan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Sementara itu, Setiausaha Cabang Kapar Mohd Ruzaini Mohd Sani berkata beliau juga yakin Azmin akan terus memartabatkan parti selain cemerlang dalam pentadbiran.
“Dengan pencapaian beliau yang baik, beliau akan ketengahkan dasar yang baik dari Selangor ke peringkat pusat.
“Azmin juga mendukung kepimpinan reformis seperti mana Tian Chua orang lama yang setia berada dalam kemnya. Parti akan lebih kukuh,” katanya.