BERSATU KENA HATI-HATI DENGAN "SAMPAH-SARAP" UMNO



Sejak petang semalam agak gempar dengan berita kemasukan Mohd Ali Baharom atau Ali Tinju yang sebelum ini terkenal dengan "tarian punggung" di hadapan rumah bekas Pengerusi Bersih, S Ambiga  ke dalam Bersatu.

Beliau didapati menyerahkan borang keahliannya kepada Setiausaha Agung Bersatu, Marzuki Yahya di sebuah program parti itu di Bandar Tun Razak.

Gambarnya menyerahkan borang keahlian kepada Setiausaha Agung Bersatu itu segera menimbulkan rasa kurang senang orangramai kerana Ali Tinju dilihat seolah-olah diraikan sebagai "orang besar" untuk menyertai Bersatu, walhal beliau adalah antara "watak hitam" yang kuat menyerang Pakatan Harapan dan Tun Mahathir Mohamad sebelum ini.

Bagi yang kenal dengan Ali Tinju, semua tahu beliau adalah pentaksub  Najib Razak dan Rosmah Mansor serta sanggup melakukan apa saja untuk membela dan mempertahankan pasangan itu.

Tidak cukup dengan mencium tangan Rosmah ketika bersalam, selain mengadakan "tarian punggung", Ali Tinju ketika era UMNO berkuasa juga pernah melakukan pelbagai aksi untuk menyerang Pakatan Harapan dan Tun Mahathir, termasuk membuat kacau ketika program NothingTo Hide di PWTC dan melakukan ugutan bunuh kepada Maria Chin Abdullah.

Lantaran itu, apabila Ali Tinju tiba-tiba menyerahkan borang keahlian menyertai Bersatu, malah seolah-olah diraikan pula kemasukannya, reaksi kurang senang yang wujud adalah perkara normal sebenarnya.

Beliau bukanlah individu yang sepatutnya dialu-alukan untuk menyertai Bersatu. Kemasukannya hanyalah kerana UMNO sudah hilang kuasa dan Najib serta Rosmah tidak mampu lagi menaburkan dedak kepadanya.

Dalam erti kata lain, Ali Tinju bukan masuk Bersatu kerana setuju dengan perjuangan parti itu, sebaliknya kerana kepentingan peribadi lantaran tiada apa-apa lagi yang ada dalam UMNO yang boleh membawa "bahagia" kepadanya.

Tetapi, dikatakan kemudiannya majlis penyerahan borang itu bukanlah sesuatu yang dirancang, tetapi Ali Tinju dilaporkan menerpa dan naik ke pentas secara tiba-tiba untuk menyerahkan borang kepada Marzuki.

Dikatakan juga, ia hanyalah penyerahan borang saja dan belum tentu lagi kemasukannya akan diterima.

Cuma, yang menimbulkan persoalan, bagaimana Ali Tinju boleh menerpa dengan mudah dan jika pun beliau berbuat demikian dan naik ke pentas secara tiba-tiba, mengapakah Marzuki seolah-olah senyum dan macam gembira "berposing" menerima borang keahlian daripadanya?

Apakah Marzuki tidak kenal Ali Tinju dan tidak tahu perangainya selama ini?

Dalam kes Ali Tinju dan spesis yang sejenis dengannya yang banyak dalam UMNO sebelum ini, Bersatu hendaklah berhati-hati dan tidak semudahnya menerima kemasukan mereka.

Meskipun Bersatu mengamalkan sikap terbuka dan sedia menerima sesiapa saja, tetapi takkanlah "sampah sarap" pun mahu dikutip juga.  Orang seperti Ali Tinju bukan saja perlu ditapis dengan ketat, bahkan tidak harus diterima sama sekali.

Jika tidak dibendung, lebih ramai lagi watak seperti Ali Tinju yang selama ini berada dalam UMNO akan masuk berbondong-bondong menyertai Bersatu.

Mereka ini bukan masuk Bersatu untuk berjuang, tapi hanya untuk mencari peluang. Di mana ada gula, di situlah mereka ini bergentayangan. Lihat saja dalam UMNO dulu, tiada apa pun perjuangan dan sumbangannya. Kerjanya hanya membuat kacau, melalak dan melakukan haru biru kerana ada upah yang diberikan.

Jika diterima masuk Bersatu, orang seperti ini akan tampil dengan perangai yang sama. Kebolehan dan kemampuannya hanya itu saja. Untuk mencari peluang dan habuan, tangan siapa pun sanggup diciumnya.

Bukan setakat Tun Mahathir yang sanggup dipujinya sekarang ini atau tangan Tun Siti Hasmah sedia diciumnya, bahkan orang seperti ini boleh juga menjadikan S Ambiga dan Maria Chin sebagai idola barunya pada bila-bila masa jika ternampak ada habuan boleh diperolehi di sebaliknya.

Tetapi, apa akhirnya akan jadi jika mereka ini lebih mewarnai perjalanan Bersatu di hari-hari mendatangnya dan bertambahkah sokongan rakyat kepada Pakatan Harapan dengan kemasukan itu? (ShahbudinHusin 12/11/2018)