Kaya-raya
Anwar malam tadi juga mengupas ucapan Najib pada majlis sambutan Hari Belia itu yang dialas dengan gesaan supaya belia menyokong Umno-BN sebagai syarat menikmati kemakmuran. Kenyataan sedemikian, kata Anwar hanya menunjukkan rasa terdesak Perdana Menteri. Menurut Anwar beliau tidak menuduh Umno sebagai parti yang tidak pernah membuat apa-apa. Namun yang dipersoalkan adalah kemungkaran dan kezaliman yang menyebabkan rakyat menderita manakala pemimpin hidup dalam keadaan kaya-raya. "Saya tidak samakan Umno dengan Firaun, Firaun pun buat bangunan dan jalan, negara komunis, Zimbabwe, mahupun Bangladesh pun buat pembangunan, soalnya kita ini mahu nilai apa kekurangan besar yang membolehkan sebuah perubahan kuasa itu perlu," katanya. Sehubungan itu, Anwar mengajak rakyat supaya merenung hala tuju negara di bawah pemerintahan Umno-BN dan tidak termakan dengan dakyah dan gula-gula politik yang disebarkan parti itu. "Saya tidak pertikai hak sesiapa untuk sokong parti mana-mana, tetapi kita sanggupkah pertahankan kezaliman, bolehkah kita diam tentang rasuah, mampukah kita biarkan fitnah, lucah termasuk qazaf dan semulanya berlaku?” tanya Anwar. Turut hadir, Pesuruhjaya PAS Pahang, Tuan Ibrahim Tuan Man ahli jawatankuasa PAS Pusat, Mohamed Sabu, Ketua Serikandi Siti Aishah Shaik Ismail dan Presiden ANAK, Mazlan.