AMPANG 29 MEI :Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendakwa Pakatan Rakyat mengada-adakan cerita berhubung pertambahan jumlah pengundi di Selangor baru-baru ini disifatkan sebagai tidak berasas, kata Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang.
Menurut Abdul Hadi, SPR seharusnya menyiasat laporan yang dibuat beberapa pemimpin Pakatan Rakyat berhubung perkara tersebut dan bukannya berusaha untuk merumitkan lagi keadaan sedia ada.
"Kita tidak percaya pihak yang berkenaan (SPR) kerana mereka tidak bebas. Sebenarnya SPR masih di jabatan Perdana Menteri, begitu juga dengan SPRM yang jelas menunjukkan tidak ada ketelusan dalam pentadbiran negara. Sebab itu mereka perlu memahaminya dan tidak sepatutnya menuduh PR sebegitu, malah sebaliknya perlu menyiasat setiap laporan yang dilakukan." ujarnya ketika ditemui selepas menziarahi mangsa tanah runtuh di Batu 14, Hulu Langat yang kini ditempatkan di Hospital Ampang untuk menerima rawatan lanjut, semalam.
Mengulas lanjut keputusan Pakatan rakyat untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Abdul Hadi berkata, pihaknya menyerahkan segala keputusan pembubaran tersebut kepada kepimpinan tertinggi.
Jelas Abdul Hadi lagi, pihaknya juga kini sedang merangka strategi bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 akan datang
"Perkara itu akan dikaji oleh PR melalui strategi politik yang akan diguna pakai dalam membuat keputusan tersebut."katanya.
Sebelum ini, Setiausaha Agong DAP Lim Guan Eng berkata, DAP akan menyarankan semua negeri Pakatan Rakyat tidak membubarkan DUN masing-masing jika PRU diadakan tahun ini.
Malah, Pakatan Rakyat juga telah sebulat suara untuk tidak membubarkan DUN di setiap negeri Pakatan Rakyat.
Dalam pada itu Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin berkata, Selangor mahu memastikan pentadbiran di negeri itu dilaksanakan bagi tempoh sekurang-kurangnya empat tahun sebelum berhasrat membubarkan DUN.
Manakala di Georgetown, Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata pakatan pembangkang kekal dengan cadangannya untuk tidak membubarkan DUN yang dikuasai mereka walaupun membabitkan kos yang tinggi.