PESAN PRU 14 - JANGAN BERIMAN DENGAN PARTI POLITIK



Dalam persaingan politik kepartian yang sedang kita saksikan sekarang di negara kita, sebenarnya bukanlah percaturan pemilihan antara yang terbaik dalam kalangan yang baik. 

Sebaliknya, ruang pemilihan yang paling kurang mudarat antara yang mudarat. Itulah realiti yang ada. 

Jika kita cuba 'beriman' dengan segala dakwaan dan janji mereka, maka itu sebenarnya satu kesilapan yang besar. Cumanya, kita sedang mencari antara yang kurang temberang dalam kalangan yang temberang. 

Sesiapa yang bersemangat mempercayai sepenuhnya apa yang dibawa mana-mana parti, maka dia akan kecewa. Apa yang kita sedang kita saksikan dari ahli politik yang berserban sehingga yang ke kelab malam, berbohong itu seakan rukun mereka dalam berpolitik. 

Tuntutan agama ialah kita hendaklah berpegang dan berdiri atas prinsip. Sementara orang politik bicara mereka berubah berdasarkan musim undian dan kuasa yang ingin diperolehi. 

Semalam mereka halalkan, hari ini mereka mengharamkan. Semalam mereka nerakakan , hari ini mereka beri lebel syurga. Semalam mereka bantah, hari ini mereka sokong. Bukan sahaja berita media mereka putar,  nas-nas agama juga mereka pusing mengikut kehendak semasa mereka. 

Justeru, apa yang kita perlu lakukan ialah memilih yang paling kurang bahaya iaitu yang lebih dekat untuk mencapai urustadbir negara yang lebih cekap dan telus. 

Memang, sepatutnya kita mencari yang paling cemerlang dalam kalangan yang terbilang untuk diberikan tanggungjawab pentadbiran negara. 

Namun, malangnya yang tinggal kini kita mencari siapakah yang dijangka kurang merosakkan urustadbir negara jika diberikan kuasa. 

Parti-parti yang kita lihat bergegar dengan pelbagai slogan dan manifesto itu, jika kita selami dalaman mereka, kesemuanya sarat dengan pelbagai ketidaktelusan dan kerakusan terhadap kuasa. 

Individu-individu yang memimpin setiap parti itu mempunyai pelbagai kehendak dan kepentingan diri. Di samping, kita tidak menafikan di sana ramai juga yang ikhlas dalam pelbagai parti yang ada. Namun, mereka itu 'ghuraba' (orang asing) dalam lautan cita-cita politik yang sering kali mempunyai 'kehendak peribadi' yang dihiasi dengan ungkapan 'demi kepentingan rakyat'. 

Kepada Allah kita mengadu. Semoga Allah pelihara kita dari ketaksuban yang bodoh. Semoga Allah mengurniakannya kita mata nurani yang dapat membuat pemilihan yang betul. 

Kita kena memilih yang paling cekap dan amanah. Jika tiada, yang mendekati kecekapan dan yang lebih dekat kepada amanah. Jika tiada, yang paling kurang korupsi dan paling kurang dangkal dalam urustadbir. 

Namun, dalam masa yang sama, kita tidak akan mempercayai segala slogan mereka dengan sepenuh hati. 

Kita tahu di musim ini, bukan sahaja harta dunia mereka janjikan, syurga dan neraka pun mereka beri jaminan seperti mana mereka menjamin geran tanah di dunia!! 

Pohonlah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat. Jadilah insan yang berprinsip dan dapat membezakan apa yang kita lihat di pentas kehidupan ini.

Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr. MAZA)
Mufti Perlis.
Anda mungkin juga meminati:

‘Benar kata Hang Tuah, takkan Melayu hilang di dunia’ – Kit Siang


Kerajaan Persekutuan yang dipimpin Pakatan Harapan akan membuktikan ia lebih cekap dan mampu membela nasib orang Melayu, lebih baik daripada UMNO-BN.
“Benar kata Hang Tuah, takkan Melayu hilang di dunia.
“Melayu takkan hilang di dunia di mana Pakatan Harapan menjadi Kerajaan Persekutuan dan membuktikan ia lebih berjaya, cekap dan mampu membela nasib dan kepentingan orang Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban berbanding kerajaan UMNO-BN.”
Demikian ucapan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dalam ceramahnya di Bukit Baru, Melaka, malam semalam.
Kit Siang menegaskan bahawa di bawah kepimpinan Pakatan Harapan, orang Melayu tidak perlu bimbang kehilangan kuasa politiknya.
“Mana mungkin ini berlaku. Ada tiga faktor demografik besar yang telah sebati dalam sistem di Malaysia.
“Peratus masyarakat Melayu semakin bertambah dalam populasi rakyat Malaysia, majoriti pengundi adalah pengundi Melayu, dan kawasan Parlimen dan DUN juga majoriti pengundi Melayu,” jelas beliau yang menyandang kerusi Parlimen Gelang Patah.
Persoalan yang sama juga pernah ditangani Sasterawan Negara A. Samad Said dengan memperingatkan tentang kuasa orang Melayu yang tidak pernah tergugat biar apa pun terjadi.
Pak Samad yang kini menganggotai DAP berulang kali menyebut bagaimana tidak mungkin orang Melayu boleh tergugat dalam politik Malaysia sekiranya UMNO tewas.
“Kata-kata bahawa orang Melayu dan Islam kini sedang terancam sukar masuk otak saya.
“Sejak merdeka, Perdana Menteri semuanya Melayu, Timbalan Perdana Menteri semuanya Melayu, Menteri Dalam Negeri semuanya Melayu, malah Menteri Besar kebanyakannya Melayu.
“Ini tidak termasuk Raja-raja Melayu, tentera dan polis yang majoritinya orang Melayu,” ujar Pak Samad dalam sebuah forum anjuran Roketkini beberapa tahun lalu.
Menurut Kit Siang, sebenarnya UMNO di zaman Najib Razak tidak membela nasib dan kepentingan orang Melayu, bahkan hanya kroni-kroni UMNO sahaja. 

MUSYKIL MENGAPA UMNO TAKUT GABUNGAN MAHATHIR – ANWAR?

SPRM JANGAN BERDIAM DIRI ISU PAJAK TANAH TENTERA – MAT SABU

DAP memang mahu sokongan Melayu, seperti UMNO mahu sokongan Cina


Menarik sokongan orang Melayu supaya mengundi DAP bukanlah benda baru. Malah usaha itu lebih jelas dilihat sejak tsunami politik 2008.
Pelancaran portal Roketkini.com, penerbitan akhbar The Roket berbahasa Malaysia, penubuhan Sekolah Demokrasi, penganjuran forum, dialog, majlis berbuka puasa dan sebagainya oleh DAP– semua ini adalah usaha bagi menyampaikan maklumat tepat tentang DAP dan perjuangannya.
Semua usaha DAP ini jelas, memang untuk menarik sokongan masyarakat Melayu yang selama ini dimomokkan dengan pelbagai karut-marut dongeng UMNO memburuk-burukkan parti roket ini.
Justeru, apabila terkeluar suara sumbang yang cuba memomokkan kononnya undi PKR sama dengan mengundi DAP; kononnya DAP pergunakan PKR untuk tarik sokongan Melayu – nampaknya dakyah sedemikian sudah makan tuan; ini benar-benar dakwaan kelakar.
Dakyah dangkal itu tidak lain cuba memanipulasi fakta kononnya DAP mahu menyelinap masuk ke dalam PKR semata-mata meraih sokongan pengundi Melayu lalu merebut kuasa dan menghakis segala keistimewaan. Ini juga satu tuduhan basi maha-kelakar. Jika ikutkan logik semacam ini, mana nak letak PKR, Amanah dan BERSATU?
PRU14 ini, DAP bukan sahaja memerlukan sokongan Melayu tetapi DAP juga memerlukan sokongan seluruh rakyat Malaysia pelbagai kaum di negara ini. Begitu halnya dengan komponen HARAPAN yang lain. Kenapa pencacai UMNO – PAS terlalu benak untuk menerima kenyataan jelas ini?
Hakikatnya, undi PKR bukan sahaja untuk memenangkan DAP tetapi juga seluruh komponen Pakatan Harapan (HARAPAN) seperti Amanah, BERSATU, PKR malah termasuk rakan sekutu HARAPAN iaitu Parti Warisan Sabah (WARISAN).
Nampaknya, keputusan penggunaan logo PKR yang diumumkan Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini  bagi memberi tamparan hebat kepada lawan politik UMNO-BN termasuk PAS yang semacam tidak boleh menerima keterbukaan parti-parti komponen HARAPAN.
Niat mereka jelas, apabila Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) masih gagal meluluskan gabungan HARAPAN secara rasmi, maka pembangkang akan lebih mudah berpecah belah. Namun, niat itu terbantut – HARAPAN malah semakin kuat.
Antara tuduhan liar lain yang sering dimomokkan ialah, kononnya Tun Dr Mahathir Mohamad telah mempergunakan PKR demi meneruskan hayat politiknya – termasuk dakwaan kononnya keputusan itu adalah satu penghinaan kepada pejuang-pejuang era reformasi 98.
Pada masa yang sama, Mahathir juga dituduh dipergunakan oleh Lim Kit Siang supaya DAP berkuasa di Malaysia. Anehnya, di pihak MCA, pencacai mereka mendakwa DAP pula telah ditindas oleh Mahathir dan BERSATU.
Segalanya sudah jelas, UMNO-BN makin tertekan, takut dan mungkin mereka juga merasakan, PRU14 kali ini adalah penamat buat mereka, sebagaimana teori RAHMAN yang meletakkan huruf ‘N’ mewakili Najib sebagai penghujung pemerintahan parti cap dacing itu.
Ya, DAP memang perlukan sokongan Melayu untuk membawa perubahan kepada Malaysia bersama-sama Pakatan Harapan. Simbol PKR adalah faktor penyatu kemarahan rakyat Malaysia. Apa masalah ‘macai’ UMNO?
Dia pun bertanding pilihanraya guna lambang dacing untuk raih sokongan Cina.

Dua gergasi berdamai, lutut siapa menggeletar



Biduk lalu, kiambang bertaut.
Mungkin pepatah Melayu itu paling sesuai menggambarkan puncak perdamaian dua gergasi politik yang sekian lama berseteru dan kembali berpadu tenaga mencapai satu tujuan Malaysia baru.
Tidak siapa pernah menyangka tindakan berlengah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk meluluskan penggunaan logo Pakatan Harapan membuka laluan baru semua komponen HARAPAN menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Ia telahpun diumumkan Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad pada siri jelajah HARAPAN yang berlangsung di Pasir Gudang, Johor baru-baru ini.
Menurut Mahathir, HARAPAN sudah menduga akan wujud halangan untuk mendaftarkan HARAPAN sebagai gabungan rasmi namun itu bukanlah jalan buntu.
“Tak boleh guna simbol Pakatan Harapan, tidak boleh menghalang kita guna satu simbol untuk empat parti.
“Bukan mudah nak suruh ahli dalam Pakatan Harapan menggugurkan simbol mereka. DAP sudah menggunakan simbol roket sejak berpuluh tahun lamanya.
“Kita bersetuju keempat parti hanya menggunakan satu simbol. Dengan segala sukacita, bahawa dalam PRU-14 keempat parti kami akan guna satu simbol iaitu Parti Keadilan Rakyat,” kata Mahathir.
Bagaimanapun, persetujuan semua komponen HARAPAN menggunakan logo PKR semakin memberi tekanan yang semakin kuat kepada Barisan Nasional (BN).
Mereka justeru terpaksa mencipta dongeng baru melaga-lagakan penyokong Anwar dan Mahatir kononnya bekas Perdana Menteri itu kini ‘mempergunakan’ logo PKR setelah sejak sekian lama berseteru dengan Anwar.
MCA malah cuba menjaja propaganda kononnya DAP telah menggadaikan prinsipnya apabila memilih untuk bertanding dengan menggunakan logo PKR.
Bukan sahaja itu, pihak-pihak yang diberi makan Barisan Nasional turut cuba mengelirukan orang ramai dengan mendakwa kononnya pimpinan DAP akan terpaksa lompat parti untuk bertanding menggunakan logo PKR.
Mereka barangkali lupa bagaimana Zulkifli Nordin, bertanding di Shah Alam dalam PRU ke-13 dengan menggunakan logo dacing Barisan Nasional, walaupun tidak menyertai mana-mana parti komponen gabungan tersebut.
Wakil-wakil PSM, Dr Nasir Hasim dan Dr Jeyakumar, turut bertanding di DUN Kota Damansara dan Parlimen Sungai Siput dengan menggunakan logo PKR pada PRU ke-13, tanpa perlu ‘lompat’ menyertai parti tersebut.
Apa yang BN menggelabah sangat?
Mengapa mereka terlalu gusar HARAPAN menggunakan logo PKR? Bukankah ROS sendiri yang melambat-lambatkan pendaftaran HARAPAN? Nah, sekarang rasakan akibatnya.

‘Undi Rabu’ mudahkan BN rampas Kelantan dari tangan PAS?


Wujud pertembungan pendapat antara Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man tentang keputusan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan hari Rabu 9 Mei sebagai hari mengundi bagi PRU ke-14.
Di pihak Haji Hadi, SPR berhak untuk menentukan hari mengundi pada bila-bila masa ia suka, termasuklah pada pertengahan minggu; meski menyusahkan ramai pihak untuk mengambil cuti dan pulang ke kawasan mengundi.
“Jangan kata dia (SPR) buat begini, begitu. Kita tak mahu campur kerana itu hak dia. Dia nak adakan hari apa, kita tetap akan mengundi. Dia buat hari Jumaat sekalipun, bukan sepanjang masa kita solat Jumaat… boleh pergi mengundi,” katanya, dilaporkan Malaysiakini.
Berbeza dengan Tuan Ibrahim yang bingkas mengecam keputusan SPR tersebut.
Bagi beliau, tindakan SPR itu “bukan sahaja menyusahkan rakyat malah merompak hak mengundi rakyat yang berada diluar kawasan bagi membuang undi. Ini petanda BN telah menghidu tsunami rakyat menolak BN bertiup kuat sehingga susah dibendung lagi.”
Tuan Ibrahim nampak jelas muslihat di sebalik strategi undi hari Rabu. Walaupun ya lah kerajaan sementara yang ada boleh mengumumkan hari Rabu sebagai cuti umum. Namun bagi beliau, mengundi di pertengahan minggu adalah perkara yang tidak sepatutnya berlaku.
“Apakah kakitangan swasta akan sanggup mengambil cuti sehari sahaja untuk kembali mengundi? Ataupun mereka sanggup korbankan 3 hari untuk mengambil cuti agar bersambung dengan hari minggu untuk memudahkan perjalanan?
“Apakah majikan swasta akan mengizinkannya, terutamanya bagi semua perantau yang bekerja di Selangor dan KL dan luar negara?
“Apa masalah bagi SPR menjadikan hari Sabtu pada 1 atau 5 Mei sebagai hari pengundian kerana ia akan memudahkan semua pengundi?” tulisnya dalam kenyataan di laman Facebook rasmi beliau.
Fikrah siasah Tuan Ibrahim sangat jelas. Sekilas ikan di air, sudah boleh dikenal jantan betina. Sama seperti reaksi orang ramai yang cepat menangkap niat SPR. Ternyata jauh berbeza dengan reaksi presidennya.
Mungkin Haji Hadi tidak perasan, bahkan tidak peduli; bahawa strategi undi hari Rabu adalah langkah yang cukup berkesan untuk merampas Kelantan dari tangan PAS.
Umum sedia maklum bahawa orang Kelantan ramai merantau ke seluruh negara untuk mencari rezeki. Bahkan ada bandar-bandar di Selangor yang sudah jadi seperti mini-Kelantan kerana ramainya diaspora negeri Cik Siti Wan Kembang itu. Hatta ada yang mengusahakan untuk menerbangkan sarapan dari negeri Kelantan untuk anak-anak rantau di seluruh Malaysia.
Pokoknya, Kelantan mempunyai ramai pengundi luar. Ertinya mereka harus pulang dari perantauan untuk mengundi. Mereka tidak memilih untuk berpindah tempat mengundi, mungkin kerana sifat sayang ke negeri yang sangat menebal.
Foto kredit Twitter @aminlandak
Bagi kartunis Amin Landak, 29 tahun; mengundi di Kelantan adalah kewajipan yang mesti ditunaikan.
“Aku tak ada rumah di Kuala Lumpur, aku menyewa. Rumah keluarga di Kelantan, dan aku tak berniat untuk tinggal di KL selama-lamanya,” kata beliau.
“Kelantan lebih memerlukan undi aku,” ujarnya lagi.
Amin Landak mungkin antara minoriti yang faham tentang konsep satu orang, satu undi dan masalah perkadaran undi mengikut sempadan di kawasan-kawasan seluruh negara. Nilai undinya di Kelantan adalah lebih besar berbanding nilai undinya di Selangor, apatah lagi di Kuala Lumpur.
Contoh mudah kita bandingkan antara Putrajaya yang memiliki 17,925 pengundi dengan kawasan Parlimen Subang yang mempunyai 130,211 pengundi. Walaupun Subang mempunyai bilangan pengundi sebanyak tujuh kali ganda Putrajaya, ia hanya memilih seorang Ahli Parlimen, sama seperti Putrajaya.
Maka Amin Landak akan pulang mengundi di Kelantan, bersama ribuan lagi rakyat Kelantan di perantauan. Mereka akan berpusu-pusu pulang ke kampung halaman, sepertimana kelaziman pulang berhari raya.
Tetapi soalnya berapa ramai yang akan betul-betul sanggup menempuh perjalanan pulang pada pertengahan minggu?
Persoalan inilah yang menjadi pertaruhan Barisan Nasional, terutamanya di Kelantan; berhadapan PAS tanpa Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.
Dua hari selepas pilihanraya Mei 2013, Berita Harian menerbitkan suatu laporan dengan tajuk ‘Pengundi balik kampung bunuh BN’. Tajuk kecilnya pula berbunyi ‘Gelombang kebangkitan belum mampu ambil alih Kelantan’. Gambar Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Tan Sri Annuar Musa kelihatan kecewa dan mengalah menghiasi laporan tersebut.
United Malays National Organisation amat mengetahui bahawa faktor pengundi luar adalah penghalang besar kemenangannya di Kelantan. Justeru ia meraikan undi hari Rabu.
Presiden PAS mungkin belum mendapat nasihat yang tepat.

Kenapa UMNO takut muafakat Anwar-Mahathir?


“Saya musykil mengapa Umno begitu takut dengan gabungan Tun Mahathir dan Anwar.”
Demikian kata Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim; dalam kenyataan terbarunya dari tirai besi.
Mantan timbalan perdana menteri yang dipecat Dr Mahathir itu menegaskan bahawa beliau menerima baik kesediaan Mahathir untuk menjalinkan persahabatan.
“Saya tidak tahu mengapa pimpinan UMNO menganggap kerjasama saya dan Tun Mahathir sebagai satu perkara yang janggal kerana kami telah bermusuhan begitu lama,” ujarnya.
Anwar dan Mahathir bertemu di mahkamah September 2016, setelah hampir 20 tahun saling berseteru sejak gerakan Reformasi tercetus pada September 1998.
“Muafakat ini juga adalah kerana tekad kami bersama untuk menjana perubahan. Negara kini menjadikan rasuah dan penyalahgunaan kuasa sebagai budaya.
“Skandal skala besar saperti 1MDB dan Felda cuba dilindungi. Maka hanya dengan perubahan kuasa, negara dapat dikemudi berdasarkan Perlembagaan dan hukum,” tegas beliau yang kini menanti dibebaskan pada 8 Jun nanti.
Beliau turut telah diumumkan sebagai calon perdana menteri kelapan, menggantikan Dr Mahathir, apabila Pakatan Harapan menang dalam PRU ke-14.
Bagi Anwar, PRU ke-14 adalah peluang terbaik untuk rakyat menentukan masa depan negara, menghentikan kezaliman serta bebas daripada segala bentuk penindasan.
Pada PRU ke-14 nanti, Dr Mahathir akan bertanding di kawasan Parlimen Langkawi dengan menggunakan lambang PKR, parti yang ditubuhkan untuk menentangnya semasa gerakan Reformasi. 

Jangan takut dengan Akta Antiberita Tidak Benar


Malaysia nampaknya boleh masuk ke Guinness World Records sebagai negara pertama di dunia menguatkuasakan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 dengan begitu cepat sekali.
Demikian disifatkan Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan, Lim Lip Eng ketika mengulas penguatkuasaan akta terbabit, yang baru sahaja dibahas dan diluluskan Parlimen minggu lalu, sehari sebelum persidangan berakhir.
Akta tersebut menghukum penyebaran berita palsu dengan penjara sehingga enam tahun, serta denda maksimum RM500,000.
“Dengan undang-undang baharu ini, dan sekiranya Barisan Nasional kekal berkuasa untuk tempoh lima tahun lagi, adakah sebarang berita yang tidak memihak parti pemerintah akan dilabel sebagai palsu?” soalnya yang juga seorang peguam.
“Contohnya berita yang tular di media sosial tentang Malaysian Official 1, Riza Aziz, Jho dan lain-lain yang merompak lebih US$4.5 bilion daripada 1MDB kini boleh sahaja dilabel palsu, walaupun dilaporkan oleh demikian banyak media antarabangsa.
“Mungkin nanti, melabel Najib Razak sebagai MO1 juga boleh didakwa sebagai ‘berita palsu’ walaupun Abdul Rahman Dahlan telah mengesahkan Najib sebagai MO1,” ujarnya dalam kenyataan.
Akta kontroversi ini digazet semalam, walaupun terdapat banyak kritikan dan bantahan daripada pelbagai pihak termasuk kumpulan wartawan.
Ia dibimbangi akan membungkam kebebasan bersuara orang ramai, terutamanya wartawan sendiri.
“Adakah Najib bimbang akan kalah dalam PRU ke-14 sehinggakan beliau sanggup menggunakan apa sahaja cara terdesak utnuk menakut-nakutkan rakyat?” soal Lip Eng yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Segambut.
Beliau justeru menyeru orang ramai untuk terus menyatakan kebenaran tanpa merasa takut.
Pun begitu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengakhiri kenyataan dengan meletakkan tanda soal.
“Jika ayat disusun dengan betu, kita tidak perlu takut kepada Akta ini. Takkanlah tanya soalan pun salah, kan?”