
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Program Sebarkan Salam dan Kota Bharu Berselawat pada 31 Oktober 2026. Foto RTM
KOTA BHARU, 31 Okt – Kerajaan MADANI bersetuju menyalurkan peruntukan RM2.5 juta kepada beberapa buah masjid terpilih di Kelantan untuk dijadikan pusat dialisis setempat, memandangkan kesukaran rakyat mendapatkan rawatan berkenaan, umum Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, peruntukan itu disalurkan menerusi Projek Dialisis Yayasan Waqaf Malaysia dengan kerjasama Radicare untuk memudahkan orang ramai menerima kemudahan dialisis di masjid berhampiran dengan kediaman mereka.
“Ini kerana kemudahan dialisis jauh, jadi sekarang kita gunakan masjid sebagai pangkalannya dengan peruntukan sebanyak RM2.5 juta.
“Peruntukan ini membabitkan beberapa masjid terpilih di Kelantan,” katanya ketika berucap pada Majlis Sebarkan Salam dan Kota Bharu Berselawat di Dataran Muhammadi, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Pada masa sama, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM645,000 untuk pelaksanaan wakaf air dan pemasangan panel solar berkualiti tinggi di beberapa masjid di Kelantan.
Beliau berkata, ini kerana terdapat masjid yang berdepan masalah bekalan air selain masalah elektrik.
No comments:
Post a Comment