Siapa sangka keputusan berani Malaysia membelanjakan RM2.4 bilion untuk membina fasa pertama sebuah pelabuhan baharu di muara Sungai Pulai, Johor pada penghujung dekad 1990-an dahulu akhirnya berjaya menarik keluar dua pelanggan besar daripada pelabuhan Singapura!
Waktu mula-mula Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) beroperasi pada Oktober 1999 sebelum dirasmikan pada Mac 2000, pelabuhan muda ini sebenarnya masih belum benar-benar dipandang serius oleh pemain industri.
Maklumlah, lokasinya terletak beberapa puluh kilometer sahaja dari pelabuhan Singapura yang sudah puluhan tahun menguasai perniagaan pemindahan kontena di Asia Tenggara.
Cabaran paling getir waktu itu ialah bagaimana mahu memastikan dermaga panjang, deretan kren tinggi dan laluan perairan yang dalam di Johor itu benar-benar digunakan oleh syarikat perkapalan dunia.
Semua kemudahan bernilai berbilion ringgit tadi tidak akan membawa banyak makna kalau kapal-kapal besar masih memilih untuk menghantar jutaan kontena mereka melalui Singapura.
Tiba-tiba pada Ogos 2000, satu pengumuman besar terus mengejutkan dunia maritim!
Syarikat perkapalan kontena terbesar dunia ketika itu iaitu Maersk Sealand membuat keputusan drastik memindahkan hab pemindahan Asia Tenggaranya dari Singapura terus ke Tanjung Pelepas.
Bukan setakat berpindah sahaja, malah syarikat dari Denmark itu turut mengambil 30 peratus pegangan kepentingan di dalam PTP melalui langkah yang dijangka membawa masuk kira-kira dua juta TEU kontena setahun ke pelabuhan Malaysia.
Keputusan Maersk itu memang memberi tamparan hebat kepada PSA Singapura kerana pelanggan sebesar itu tidak mudah diganti begitu sahaja.
Puncanya cukup jelas iaitu Maersk mahukan kawalan yang lebih luas terhadap operasi terminalnya sendiri di samping faktor kos di Johor yang lebih kompetitif.
Kesannya terus kelihatan pada tahun 2001 apabila pengendalian kontena di terminal Singapura jatuh 8.9 peratus kepada sekitar 15.52 juta TEU dan para penganalisis ketika itu meletakkan kehilangan Maersk sebagai antara punca utama kemerosotan tersebut.
Dalam tempoh yang sama di Johor, suasana di PTP pula berubah menjadi luar biasa sibuk!
Daripada hanya mengendalikan sekitar 418,000 TEU pada tahun 2000, jumlah kontena di PTP melonjak mendadak kepada 2.05 juta TEU pada tahun 2001.
Mana tidaknya, pelabuhan yang baru setahun jagung itu hanya memerlukan tempoh 571 hari sejak mula beroperasi untuk mengendalikan TEU yang kesatu juta iaitu satu pertumbuhan luar biasa bagi pelabuhan yang baru muncul di sebelah kuasa lama Singapura!
Kalau ada yang menyangka kejayaan awal itu hanya bergantung pada tuah bersama Maersk, kejutan kedua tiba pula pada tahun 2002.
Kali ini giliran syarikat perkapalan terkemuka dari Taiwan iaitu Evergreen Marine mengambil keputusan memindahkan hab serantaunya dari Singapura ke Tanjung Pelepas yang melibatkan kira-kira satu juta TEU kontena!
Selepas lebih dua dekad berlalu, keberanian membangunkan pelabuhan bernilai berbilion ringgit di selatan Johor itu kini terjawab dengan angka yang jauh lebih besar.
Pada tahun 2025, PTP mencatatkan rekod 14,028,375 TEU sekali gus menjadi terminal kontena pertama di Malaysia yang melepasi paras 14 juta TEU dalam setahun di bawah pemilikan 70 peratus MMC Group dari Malaysia dan 30 peratus APM Terminals!
Bila kita imbas semula kisah kebangkitan Tanjung Pelepas ini, baru kita sedar bahawa sesuatu keputusan besar selalunya kelihatan terlalu berani sewaktu hasilnya masih belum muncul di depan mata.
Tatkala RM2.4 bilion dibelanjakan untuk membina sebuah pelabuhan baharu betul-betul di halaman rumah salah sebuah kuasa pelabuhan terbesar dunia, ramai yang belum nampak bagaimana Malaysia mampu meyakinkan pemain antarabangsa supaya berpindah.
Begitulah juga lumrah perjalanan seseorang manusia ketika mula membina kerjaya.
Kita selalunya hanya melihat kedudukan seseorang selepas dia berjaya di atas, sedangkan keputusan paling menentukan hidupnya telah dibuat bertahun-tahun lebih awal ketika orang lain masih belum nampak apa yang sedang cuba dibinanya.
Hakikat inilah yang dikongsikan oleh Datuk Jake Abdullah menerusi buku Perjalanan Seorang CEO yang membawa kita menelusuri perjalanan panjangnya daripada seorang budak yang mencari duit poket sendiri sehinggalah akhirnya menduduki kerusi kepimpinan dalam dunia penyiaran.
Banyak keputusan getir dalam hidup ini hanya dapat difahami nilainya selepas kita menoleh semula ke belakang.
Jadi kalau hari ini langkah permulaan kita masih kelihatan kecil, jangan terlalu cepat menganggap ia tidak akan membawa kita ke mana-mana kerana pelabuhan yang suatu ketika dahulu baru mengendalikan 418,000 TEU setahun pun akhirnya mampu melepasi 14 juta TEU!
https://s.shopee.com.my/4B1AF8PVJN



No comments:
Post a Comment