
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir menunaikan solat Maghrib di Madrasah Ar-Rahmaniah Ad-Diniah, Pondok Lubok Tapah, Pasir Mas pada 31 Oktober 2026. Foto PMO
PASIR MAS, 31 Okt – Laluan pendidikan baharu bagi membolehkan pelajar pondok melanjutkan pengajian ke universiti awam sedang dalam penelitian rapi Kerajaan MADANI.
Perkara tersebut disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melihat pendekatan itu bertujuan mengangkat martabat institusi pendidikan pondok menerusi penambahbaikan sistem sedia ada tanpa menghilangkan asas keilmuan Islam yang diwarisi sejak turun-temurun.

Caadangan berkenaan jelas Perdana Menteri turut mengambil kira penyesuaian sistem pengajian pondok agar dapat dipadankan dengan laluan ke peringkat pendidikan tinggi.

“Apakah tidak mungkin kita ikhtiar mencari satu jalur baharu, iaitu daripada pondok ini kita ubah suai dan perbaiki mana-mana yang perlu, tetapi sistem itu dapat berkembang hingga ke peringkat tertinggi universiti.

“Ini yang sekarang ini Syeikh Luqman antara pihak yang menyumbang atau ditugaskan untuk merumuskan kepada kerajaan bagaimana perkara ini boleh dilaksanakan secara berperingkat,” katanya semasa berucap selepas menunaikan solat maghrib di Madrasah Ar-Rahmaniah Ad-Diniah Pondok Lubok Tapah di sini, sebentar tadi.

Pada kunjungan berkenaan yang turut disertai Menteri di JPM, Dr. Zulkifli Hasan itu, Anwar sempat meluangkan masa beramah mesra dengan warga pusat pengajian berkenaan.

Anwar menegaskan kepentingan mengembalikan khazanah keilmuan Islam atau turath yang diwarisi daripada ulama terdahulu supaya tidak tenggelam akibat kecenderungan memberikan tumpuan kepada pemikiran dan tafsiran semasa semata-mata.

Katanya, warisan keilmuan Islam yang berkembang sejak ratusan tahun lalu, termasuk hasil pemikiran tokoh seperti Syeikh Daud al-Fatani dan Imam al-Ghazali, perlu terus dipelajari serta dimanfaatkan.

Ujarnya, institusi pondok dan pesantren pernah menjadi benteng mempertahankan akidah, akhlak, nilai serta jati diri umat Islam ketika negara berdepan penjajahan yang turut menguasai pemikiran dan budaya masyarakat.

Sehubungan itu, beliau mahu institusi pondok dan surau terus dibantu serta diberikan ruang untuk berkembang supaya khazanah ilmu Islam dapat diwariskan kepada generasi akan datang.
No comments:
Post a Comment