KREDIT: MAJALAH PERAJURIT
Pesawat FA-50M pertama milik Malaysia yang ditempah daripada syarikat Korea Selatan Korea Aerospace Industries (KAI), telah mendarat di Pangkalan Udara Labuan Tentera Udara Diraja Malaysia. Pesawat tersebut tiba dari Filipina selepas memulakan perjalanan dari kilang KAI di Sacheon pada Oktober 28.
Ketibaan pesawat itu disambut di ruang udara pangkalan tersebut melalui penerbangan formasi yang melibatkan pesawat FA-50M (nombor ekor M58-01) bersama dua buah pesawat BAE Hawk 108/208, dua buah Boeing F/A-18D Hornet, dan dua buah Sukhoi Su-30MKM TUDM. Upacara penghantaran itu dihadiri oleh Menteri Pertahanan Malaysia Khaled Nordin, Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Dato' Sri Haji Muhamad Norazlan bin Aris, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Malaysia Datuk Lokman Hakim bin Ali, Timbalan Panglima Tentera Udara Leftenan Jeneral Dato' Sri Nur Hafis bin Abdul Karim serta pegawai-pegawai kanan TUDM dan eksekutif KAI.
Varian FA-50M milik Malaysia ini lebih canggih berbanding varian FA-50 terdahulu. Ia dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) terkini jenis PhantomStrike keluaran RTX, sniper advanced targeting pod serta sistem aerial refuelling probe-and-drogue. Selain itu, varian ini dikuasakan oleh enjin F404 GE Aerospace yang dipasang oleh syarikat Hanwha Aerospace. Pada tahun 2023, KAI telah dianugerahkan kontrak bernilai hampir RM1 billion bagi pembekalan 18 unit FA-50M, yang berfungsi sebagai Fighter Lead-In Trainer-Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) di bawah program pemodenan TUDM yang dikenali sebagai CAP55 (Capability Development 55).
Dalam sidang media, MENHAN DS Khaled menyatakan bahawa pesawat FA-50M kedua mengalami kelewatan akibat isu teknikal, namun dijangka akan meneruskan perjalanannya dan tiba di Malaysia sebelum 1 November. Beliau turut memaklumkan bahawa penghantaran kesemua 18 buah pesawat itu dijadualkan selesai secara berperingkat menjelang Mac 2028.
Apabila ditanya mengenai kemungkinan perolehan pesawat tambahan, MENHAN menjelaskan bahawa walaupun terdapat perancangan untuk kumpulan kedua pesawat FLIT/LCA, keputusan untuk menambah pesawat FA-50M atau memilih jenis pesawat lain masih belum dimuktamadkan, menyatakan bahawa keputusan tersebut terserah kepada TUDM.
Awal minggu ini, menteri memaklumkan kepada Parlimen bahawa pasangan pesawat FA-50M yang pertama dijangka tiba pada 30 Oktober dan akan dikendalikan oleh No.15 Skuadron di Pangkalan Udara Kuantan, dengan perancangan untuk menempatkan sebahagiannya di Labuan pada masa hadapan. "Kita sedang memperoleh 18 buah pesawat FA-50M dari Korea Selatan yang akan berpangkalan di Pangkalan Udara Kuantan, manakala sebahagiannya juga akan ditempatkan di Pangkalan Udara Labuan bagi memperkukuh keupayaan tempur udara kita," kata MENHAN.
Pesawat FA-50M ini akan menggantikan pesawat Hawk—yang bakal ditamatkan perkhidmatannya bermula tahun 2028 bagi mengambil alih peranan serangan ringan dan latihan. Pada masa yang sama, ia akan menyokong pesawat F/A-18D Hornet dan Su-30MKM dengan keupayaan melancarkan peluru berpandu berpandu tepat serta stand-off weapons. Selain itu, FA-50M juga akan mengambil alih peranan latihan juruterbang yang sebelum ini digalas oleh pesawat Aermacchi MB-339 yang telahpun ditamatkan perkhidmatannya.
Setakat ini, seramai 57 anggota teras telah menamatkan latihan mereka di Korea Selatan, terdiri daripada enam juruterbang, enam pegawai kejuruteraan, dan 45 juruteknik. Mereka akan menerajui No.15 Skn yang diketuai oleh Pegawai Pemerintah, Mejar Mohd Jamil bin Awang. Dikatakan sebagai pesawat serangan ringan yang paling laris di dunia, platform latihan T-50 serta varian-varian seterusnya seperti TA-50 dan FA-50 dalam perkhidmatan beberapa negara di rantau Asia-Pasifik, termasuk Korea Selatan, Filipina, Indonesia, Thailand, dan Malaysia—yang merupakan antara pelanggan terbaharu. Selain itu, Iraq dan Poland juga mengoperasikan pesawat T-50 dan FA-50.
Pada bulan Jun 2025, KAI memperoleh kontrak bernilai AS$700 juta daripada Filipina untuk 12 buah lagi pesawat FA-50PH. Perolehan ini menambah pada kumpulan awal 12 buah pesawat FA-50 yang diterima pada tahun 2014. FA-50PH Tentera Udara Filipina telahpun merasai pertempuran sebenar, terutamanya di Marawi pada tahun 2017. Pesawat-pesawat tersebut digelar sebagai "game changer" dalam pertempuran selama lima bulan itu, dengan membekalkan close air support (CAS) kepada askar Filipina menentang militan-militan Maute Group. Tentera Udara Filipina turut kehilangan sebuah pesawat FA-50PH selepas ia terhempas semasa satu misi menentang pemberontakan di wilayah selatan negara itu pada Mac 2025.








No comments:
Post a Comment