Teka-teki di sebalik perubahan pendirian MCA menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semakin terjawab apabila parti itu akhirnya memperoleh satu lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Hilir, hasil persetujuan dengan Perikatan Nasional (PN).
“Kubu DAP pun tak apa lah, asal ada hujjah untuk u-turn,” kata budak-budak citro kepada MCA.
Sebelum ini MCA membantah pembahagian kerusi Barisan Nasional (BN) sehingga Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, meninggalkan majlis pengumuman calon, MCA kini bersetuju meneruskan kerjasama dan bertanding di tiga kawasan berbanding tujuh kerusi dalam pilihan raya lepas.
Tambahan kerusi Bandar Hilir itu menjadikan MCA bertanding di Machap Jaya, Klebang dan Bandar Hilir, berbanding hanya dua kerusi yang diperuntukkan pada peringkat awal.
Menariknya, kerusi tambahan berkenaan bukan datang daripada kuota asal BN, sebaliknya daripada tujuh kerusi yang sebelum ini diperuntukkan kepada PN menerusi rundingan kerjasama kedua-dua gabungan.
Presiden MCA, Wee Ka Siong, mengesahkan keputusan tersebut dimuktamadkan selepas rundingan terakhir antara kepimpinan BN dan PN pada Khamis.
Menurut beliau, pimpinan tertinggi PN sendiri menyatakan kesediaan memberikan laluan kepada MCA untuk bertanding di Bandar Hilir, kawasan yang pernah ditandingi parti itu sebelum ini.
Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, turut mengesahkan persetujuan berkenaan selepas majlis pengumuman calon gabungan itu di Bukit Katil malam tadi.
Perkembangan ini menyaksikan BN kini bertanding di 22 daripada keseluruhan 28 kerusi DUN Melaka, manakala PN terpaksa mengurangkan jumlah kerusinya daripada tujuh kepada enam.
Sebelum ini, MCA menimbulkan bantahan terbuka terhadap pembahagian kerusi BN apabila mendakwa parti itu tidak dirujuk sewajarnya dalam proses rundingan.
Tindakan Wee bersama beberapa pemimpin MCA meninggalkan majlis pengumuman calon BN mencetuskan persoalan mengenai hubungan parti berkenaan dengan kepimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Bagaimanapun, selepas beberapa siri perbincangan dengan Zahid, Wee mengumumkan MCA bersetuju bertanding di dua kerusi asal, sebelum tambahan Bandar Hilir disahkan sehari kemudian.
Keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada penambahan kerusi berkenaan menjadi antara faktor yang membantu meredakan ketegangan MCA dengan kepimpinan BN, walaupun Wee sebelum ini turut menyebut jaminan mengenai perwakilan masyarakat Cina dalam kerajaan negeri.
Lebih menarik, Bandar Hilir bukan kerusi mudah untuk ditawan kerana DAP telah mempertahankan kawasan tersebut sejak 1999, termasuk menang dengan majoriti 7,778 undi pada PRN 2021.
MCA mempertaruhkan Ketua Penerangan MCA Melaka yang juga Ahli Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Jasmine Lok Huey Yee, 38, untuk mencabar penguasaan DAP di kawasan majoriti pengundi Cina itu.
Dalam perkembangan sama, PN mengumumkan lima calon setakat malam tadi, termasuk dua daripada Pas, dua Parti Wawasan Negara dan seorang Gerakan, manakala satu lagi calon masih belum diumumkan.
Dengan penamaan calon dijadualkan esok, 31 Oktober, perubahan agihan kerusi pada saat akhir itu memperlihatkan bagaimana rundingan BN dan PN masih mempengaruhi susunan pertandingan menjelang PRN Melaka pada 14 November.
Persoalannya kini, adakah tambahan kerusi Bandar Hilir sekadar memenuhi tuntutan MCA untuk mendapatkan ruang pertandingan lebih luas, atau benar-benar mampu membantu parti itu mencabar DAP di kawasan berkenaan?
#PRNMelaka #MCA #BandarHilir

No comments:
Post a Comment