MOF jawab Zahid, projek jalan KKDW di Sabah, Sarawak tak batal

 


Dakwaan projek Jalan Luar Bandar (JALB) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dibatalkan tidak tepat, apabila Kementerian Kewangan (MOF) menjelaskan langkah yang diambil hanyalah menangguhkan pengeluaran Surat Setuju Terima (SST) baharu.

Penangguhan itu dibuat susulan komitmen perbelanjaan KKDW yang melebihi peruntukan asal, sehingga menyebabkan tunggakan bayaran kepada kontraktor meningkat kepada RM1.05 bilion sejak isu berkenaan bermula pada 2023.

Penjelasan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan itu memberi gambaran bahawa projek jalan luar bandar, termasuk yang melibatkan Sabah dan Sarawak, tidak dibatalkan seperti yang didakwa, sebaliknya pengeluaran SST baharu ditangguhkan sementara kedudukan kewangan kementerian diselaraskan.

Menurut Amir Hamzah, MOF mengambil langkah tersebut bagi membolehkan tunggakan kepada kontraktor diselesaikan terlebih dahulu sebelum komitmen baharu dibuat.

Bagi mengurangkan beban tunggakan, kerajaan meluluskan tambahan RM500 juta melalui Surat Kebenaran Berbelanja Melebihi Peruntukan (SKB) pada September lalu.

Dana itu diperoleh menerusi penjimatan perbelanjaan pembangunan beberapa kementerian lain, sekali gus membolehkan bayaran kepada kontraktor diberi perhatian tanpa menambah tekanan kepada peruntukan sedia ada.

“MOF hanya meminta KKDW menangguhkan pengeluaran SST baharu sementara menunggu tunggakan sedia ada diselesaikan.

“Setiap tambahan kepada JALB melalui pengagihan semula mengurangkan ruang pembiayaan bagi keutamaan lain. 

Disiplin ini penting bagi memastikan kontraktor dibayar tanpa menjejaskan keutamaan kementerian lain,” katanya.

Perkara itu dijelaskan ketika sesi penggulungan Kementerian Kewangan dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat pada Khamis.

Dewan Rakyat meluluskan rang undang-undang berkenaan pada peringkat dasar menerusi undian suara majoriti selepas sesi penggulungan selesai.

Persidangan seterusnya akan menyaksikan rang undang-undang itu dibawa ke peringkat Jawatankuasa untuk penelitian dan perbahasan lebih terperinci mengikut kementerian.

Selain isu perbelanjaan KKDW, Ahli Parlimen daripada pelbagai parti turut membangkitkan persoalan berkaitan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta bantuan bersasar menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).





No comments: