Ingat lagi tak cerita tahun 2024 dulu?



Nadi Daily




 Ingat lagi tak cerita tahun 2024 dulu? Masa tu kerajaan dah menyediakan draf Memorandum Persefahaman (MoU) berhubung peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang. Tujuannya untuk mencari titik persetujuan supaya soal peruntukan kawasan dan kerjasama dalam urusan tertentu dapat diselesaikan melalui rundingan.

Tapi belum pun rundingan dimuktamadkan, draf tersebut dah jadi bahan pertikaian politik. Beberapa pemimpin PAS tampil mengkritik syarat-syarat yang dicadangkan. Ada yang menganggapnya tidak adil kepada pembangkang, malah isu peruntukan ini turut dikaitkan dengan dakwaan kerajaan berlaku zalim.
Sedangkan namanya pun draf. Belum lagi perjanjian akhir. Kalau ada perkara yang tak dipersetujui, sepatutnya masih ada ruang untuk duduk semeja, bincang satu persatu dan kemukakan cadangan balas. Itulah fungsi rundingan dalam politik.
Pembangkang sebenarnya boleh datang dengan counter-offer. Kalau ada syarat yang dianggap terlalu berat, cadangkan pindaan. Kalau ada perkara yang menimbulkan kebimbangan, minta penjelasan. Tetapi kepimpinan pembangkang ketika itu memilih untuk menolak draf berkenaan.
Akibatnya, isu peruntukan terus berpanjangan. Ahli Parlimen pembangkang masih membangkitkan soal layanan sama rata, sementara rakyat di kawasan masing-masing turut menjadi sebahagian daripada perdebatan mengenai peruntukan pembangunan.
Kini, dua tahun kemudian, perkembangan baharu berlaku apabila 13 Ahli Parlimen pembangkang dan Bebas dilaporkan menandatangani Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan atau CSA dengan Kerajaan MADANI. Antara perkara yang diumumkan ialah persetujuan berkaitan peruntukan kawasan serta kerjasama dalam urusan Parlimen.
Menariknya, perkembangan ini memperlihatkan bahawa jalan rundingan yang dipertikaikan dahulu masih boleh digunakan untuk mencari penyelesaian. Tidak semestinya semua pihak perlu bersetuju dalam setiap perkara. Yang penting, ada kesediaan untuk berbincang dan mencapai persetujuan dalam perkara tertentu.
Di sinilah timbul persoalan terhadap pendekatan pemimpin PAS dan juga parti pembangkang lain, termasuk Warisan. Adakah penolakan rundingan sebelum ini benar-benar membawa penyelesaian kepada isu peruntukan, atau sekadar menyebabkan pertikaian tersebut berlarutan lebih lama?
Dalam sistem demokrasi, menjadi pembangkang bukan bermaksud mesti menolak semua bentuk kerjasama dengan kerajaan. Pembangkang masih boleh mengkritik dasar, menyemak tindakan kerajaan dan mempertahankan pendirian politik sendiri, sambil bekerjasama dalam perkara yang memberi manfaat kepada rakyat.
Akhirnya, perkembangan CSA ini mengingatkan kita kepada satu perkara mudah. Politik boleh berbeza pendirian, tetapi rundingan tetap penting. Kalau sesuatu draf tidak dipersetujui, kemukakan cadangan balas. Sebab matlamat akhirnya bukan sekadar menang berhujah, tetapi mencari penyelesaian untuk rakyat.






No comments: