
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Perjumpaan Bersama Warga Kementerian Pendidikan (KPM) di Putrajaya pada 28 Julai 2026. Foto PMO
PUTRAJAYA, 28 Jul – Bantuan Am Persekolahan (BAmP) akan disalurkan kepada lebih 31,000 pelajar Tingkatan Enam daripada keluarga miskin tegar selepas kerajaan memperluaskan skim itu dengan peruntukan RM4.69 juta tahun ini kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, inisiatif itu bagi memastikan pelajar Tingkatan Enam tidak lagi tercicir daripada menikmati bantuan persekolahan.

“Kita bagi wang saku RM150 kepada murid Tahun Satu sehingga Tingkatan Lima, jadi Tingkatan Enam terlepas.

“Jadi untuk pelajar Tingkatan Enam, kita akan berikan bantuan yang sama. Jadi selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perjumpaan Bersama Warga Kementerian Pendidikan (KPM) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

BAmP ialah antara bantuan di bawah Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) yang diwujudkan bagi membantu murid daripada keluarga miskin dan miskin tegar meneruskan persekolahan, selain mengurangkan risiko keciciran pendidikan.

Selain BAmP, KWAPM turut menyediakan Bantuan Kecemasan (BK) kepada murid yang memenuhi syarat kelayakan.
No comments:
Post a Comment