PH teruskan kempen berasaskan prestasi ketika PN-BN masih main isu Melayu-Islam

 


Ketika Perikatan Nasional (PN)-Barisan Nasional terus memainkan dakyah Melayu-Islam terancam, Pakatan Harapan (PH) kekal komited mempertaruhkan rekod pencapaian dan hala tuju pembangunan sebagai asas meraih mandat rakyat pada PRN Negeri Sembilan.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad berkata, sejak awal lagi PH konsisten membentangkan pencapaian pentadbiran kerajaan negeri di bawah Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, yang disokong data dan angka rasmi bagi membolehkan rakyat membuat penilaian berasaskan fakta.

Antara pencapaian yang diketengahkan ialah kejayaan Negeri Sembilan menarik pelaburan melebihi RM32 bilion bagi tempoh 2025 hingga 2026, berbanding sasaran RM30 bilion yang mahu disasarkan PN-BN jika menerajui pentadbiran.

Dibandingkan dengan corak kempen dibawa pembangkang, Khalid melihat bahawa gabungan itu terus memainkan naratif bahawa kedudukan orang Melayu dan Islam sedang terancam, tanpa membentangkan langsung pencapaian mereka.

“Sejak awal lagi PH konsisten membentangkan prestasi pentadbirannya sama ada di peringkat negeri atau Persekutuan dan merayu agar diundi oleh rakyat supaya kekal sebagai kerajaan mentadbir bagi meneruskan prestasi cemerlang ini.

“Jelas dibentangkan betapa pencapaian kerajaan Negeri Sembilan jauh lebih cemerlang di bawah TokMin berbanding zaman Tan Sri Isa Samad dan Mohamad Hassan, lengkap dengan data dan angka rasmi sebagai pengukur prestasi agar rakyat Negeri Sembilan mendapat maklumat jelas untuk menetukan hala tuju mereka.

“Pihak PN-BN sebaliknya mendiamkan diri dalam soal prestasi pentadbiran kerana sememangnya prestasi mereka tidak begitu memberangsangkan.

“Tambahan, sasaran mereka untuk mendapatkan RM30bilion dalam masa 5 tahun, dipatahkan dengan mudah oleh PH yang telah membawa pelaburan lebih RM32 bilion hanya dalam tempoh 2025 hingga 2026,” katanya dalam sidang media sebentar tadi 

Khalid turut menyinggung mengenai kempen dakyah Melayu Islam yang sering dimainkan PN-BN, sedangkan hakikatnya kata beliau, kedudukan Melayu Islam di bawah pentadbiran Aminuddin semakin mantap.

“Mereka terus menerus menakutkan rakyat dengan dakyah dongeng berhubung ancaman terhadap kedudukan Melayu dan Islam 

“Siang dan malam kempen mereka jual dakyah Melayu Islam terjejas sedangkan hakikatnya kedudukan Melayu Islam semakin mantap,” ujarnya.




No comments: