Orang ramai meluahkan rasa hairan apabila stok minyak masak paket yang sebelum ini sukar diperoleh kini dilihat kembali memenuhi rak di beberapa pasar raya.
Perkara itu menjadi perbualan hangat di media sosial, selepas satu laman Facebook memuat naik gambar memaparkan minyak masak paket di sebuah pasar raya.
Menurut laman Kuantan Development News, sejak peraturan mewajibkan penggunaan aplikasi eCOSS dilaksanakan, minyak masak paket dilihat semakin mudah diperoleh di pasaran.
Ramai berpendapat situasi itu berpunca daripada warga asing yang tidak lagi boleh membeli minyak masak bersubsidi tersebut.
“Perasan tak, lepas wajib beli minyak masak subsidi pakai aplikasi, berlambak-lambak stok minyak masak subsidi.
“Nampak sangat sebelum ini kena kebas dengan warga asing, termasuklah yang bekerja di pasar raya.
“Pernah nampak satu geng warga asing beli minyak paket subsidi ini banyak-banyak dulu, sekarang tak boleh dah,” kongsinya.
Perkongsian itu menarik perhatian ramai, membuka perbincangan mengenai keberkesanan pembelian minyak masak menggunakan aplikasi.
Ada yang memberi respon positif mengatakan inisiatif itu mampu mengekang ketirisan yang sudah lama berlaku.
Tidak kurang juga, ramai membangkitkan soal kerumitan menggunakan aplikasi berkenaan terutama kepada golongan tua yang tidak mahir menggunakan telefon.
No comments:
Post a Comment