Pas sengaja tunggang isu Najib nak tutup kegagalan pentadbiran di Perlis
AMANAH Johor melihat tindakan Pas yang rancak memainkan isu Titah Adendum Datuk Seri Najib Razak sebagai cubaan untuk mengalihkan perhatian daripada kegagalan dan ketidaktentuan pentadbiran negeri Perlis di bawah Perikatan Nasional (PN).
Naib Pengerusi AMANAH Johor, Dr Zuhan Zain berkata, sejak awal lagi, mereka telah menjangkakan bahawa kerajaan Perlis tidak akan mampu bertahan secara stabil, memandangkan wujud pelbagai petanda awal berkaitan kegagalan tadbir urus, pertelagahan dalaman dan kerapuhan kepimpinan.
Lebih membimbangkan, kerosakan dan kepincangan pentadbiran ini dipercayai berlaku sesama parti Pas sendiri.
“…ia melibatkan perebutan kuasa, perbezaan hala tuju dan ketidakmampuan menyelesaikan konflik dalaman secara matang dan situasi ini akhirnya memberi kesan langsung kepada kestabilan kerajaan negeri dan kebajikan rakyat Perlis.
“Keadaan yang berlaku di Perlis juga membuktikan bahawa gabungan PN terlalu rapuh, tidak kukuh dari segi kesepaduan, serta gagal mengurus perbezaan dalaman dengan berhemah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
AMANAH Johor menegaskan, apa yang sedang berlaku ini menunjukkan PN tidak benar-benar fokus membantu rakyat, sebaliknya lebih sibuk mencatur kuasa, mempertahankan kepentingan politik sempit dan berpolitik tanpa henti walaupun rakyat memerlukan penyelesaian kepada masalah kehidupan seharian.
No comments:
Post a Comment