Fahami kes Najib Razak dengan betul
Oleh DR ZULQARNAIN LUKMAN
Melalui kes Permohonan Semakan Kehakiman No. WA-25-136-04/2024 ini, kita dapat melihat beberapa fakta yang belum dilapor di media berhubung kes Titah Addendum Najib Razak.
Terdapat tujuh responden di dalam kes ini iaitu:
- Menteri Dalam Negeri
- Komisioner Jeneral Penjara
- Peguam Negara Malaysia
- Lembaga Pengampunan Bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya
- Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi)
- Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Di Jabatan Perdana Menteri
- Kerajaan Malaysia
Penghakiman ini juga telah menerbitkan semula secara penuh Perintah Pembebasan Awal Najib Razak, antara lain kandungannya:
- Najib Razak didapati bersalah atas 3 kesalahan iaitu:
a) S. 23 dan dihukum di bawah S. 24 Akta SPRM
b) S. 409 Kanun Keseksaan
c) S. 4(1)(b) dan dihukum di bawah S. 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Hukuman penjara kumulatif adalah 17 tahun mulai 22 Ogos 2022.
Lembaga Pengampunan WP dalam mesyuarat yang ke-61 pada 29/1/2024 telah menasihati YDPA untuk mengekalkan hukuman dan Najib Razak meneruskan baki hukuman.
Bahawasanya adalah munasabah pada hemat YDPA, belas kasihan patut diberi kepada Najib Razak dan menggunakan kuasa yang terletak hak di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memerintahkan Najib Razak dibebaskan awal pada 23 Ogos 2028 dan denda dikurang kepada RM50 juta.
Sekiranya denda tidak dibayar tempoh penjara ditambah setahun dan tarikh pembebasan adalah 23 Ogos 2029.
Tarikh cop mohor YDPA adalah pada 29 Januari 2024.
Pada tarikh yang sama, 29 Januari 2024, Titah Addendum telah dikeluarkan oleh YDPA yang mana waraqah ikhlas fatul akhyar telah diwasalkan oleh Tuhan Seru Sekalian Alam ke Majlis Yang Berbahagia Datuk Ahmad Terrirudin bin Mohd Salleh, Peguam Negara Malaysia yang MENITAHKAN SEBAGAI TAMBAHAN kepada keputusan YDPA di dalam mesyuarat ke-61 supaya Najib Razak menjalani baki hukuman menerusi penahanan dalam rumah (house arrest).
Kuasa pengampunan
Beberapa isu telah dibangkitkan khasnya sama ada Titah Addendum itu sah dan berkuatkuasa.
Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching telah membuat beberapa analisa:
- Analisa mengenai Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan membuat kesimpulan bahawa:
a) YDPA mempunyai kuasa untuk pengampunan.
b) Lembaga Pengampunan bagi WP adalah terdiri dari Peguam Negara, Menteri WP dan 3 ahli lain yang dilantik YDPA.
c) Lembaga Pengampuan akan memberikan nasihat kepada YDPA.
d) Sebelum Lembaga Pengampunan memberikan nasihat, pertimbangan hendaklah diberikan kepada nasihat bertulis Peguam Negara.
e) Lembaga Pengampunan mesti hadir bermesyuarat dan dipengerusikan oleh YDPA.
- Prerogative of mercy
Bahawa Perkara 42 merupakan suatu prosiding prerogatif pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong dan tidak tertakluk kepada hak perundangan.
Kuasa ini adalah kuasa penuh YDPA. Walau bagaimanapun, kuasa hendaklah digunakan secara mengikut peraturan (exercised judiciously).
- Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61
Mesyuarat ini mendedahkan bahawa Najib Razak telah memohon untuk mendapatkan pengampunan penuh.
Pandangan bertulis Peguam Negara dan rekomendasi Jabatan Penjara telah dikemukakan. YDPA ke 16 telah mencadangkan supaya Najib Razak diberikan pengampunan penuh dan meminta Lembaga Pengampunan memberikan pandangan.
Lembaga Pengampunan menyatakan Najib Razak tidak sewajarnya mendapat pengampunan penuh. Kemudian YDPA telah mencadangkan supaya Najib Razak diberikan penguranan 50% hukuman penjara dan pengurangan denda kepada RM50 juta. HANYA ADA SATU ITU SAHAJA KEPUTUSAN YDPA DI DALAM MESYUARAT TERSEBUT.

- Isu sama ada Titah Addendum itu mematuhi Per. 42
Mahkamah mendapati bahawa isu tahanan rumah langsung tidak dibahaskan di dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan dan tidak mematuhi kehendak Perkara 42.
Mahkamah mengakui bahawa kuasa pengampunan (power of clemency) adalah prerogatif diraja tetapi perlu mematuhi peruntukan Perlembagaan.
Mahkamah juga mendapati bahawa perintah tahanan rumah ini adalah tidak pernah ada duluan (precedent) dan telah secara fundamental mengubah bentuk pemenjaraan.
Maka, adalah lebih mustahak hal ini dibentangkan di dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan. Pandangan Mahkamah ini adalah berdasarkan kepada prinsip yang telah diputuskan dalam kes The Attorney General of Malaysia v Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak and another appeal (Mahkamah Persekutuan), antara lain menyebutkan “Article 42( further mandates that any meeting of the Pardons Board must be held in the presence of the YDPA, who shall preside over its proceedings. This requirement is both procedural and constitutional in nature. Any failure to adhere strictly to the procedural safeguards and substantive requirements under Article 42 will render the entire clemency process susceptible to constitutional challenge and Judicial Review.”
- Isu sama ada Titah Addendum tidak boleh dicabar (non-justiciable)
Mahkamah mendapati isu dalam hal ini berbeza dalam kes-kes lain yang terdahulu. Oleh kerana perintah tahanan rumah di dalam Titah Addendum perlu dilaksanakan oleh Jabatan Penjara maka Mahkamah mempunyai kuasa untuk membuat semakan kehakiman.
- Sama ada Titah Addendum adalah ‘respite order’ dan tidak tertakluk kepada mesyuarat Lembaga Pengampunan.
Maksud ‘respite order’ seperti yang dihujahkan oleh peguam Najib Razak adalah bahawa ianya adalah satu cara alternatif bagi hukuman penjara dan oleh itu tidak tertakluk kepada mesyuarat Lembaga Pengampunan seperti mana perintah pengampunan (pardon).
Namun, Mahkamah menyatakan bahawa Titah Addendum ini adalah titah tambahan kepada perintah awal maka ianya harus dibaca bersekali dan oleh itu perlu dibawa kepada mesyuarat Lembaga Pengampunan.
- Sama ada YDPA perlu memutuskan Titah Addendum di dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan.
Mahkamah berpendapat bahawa peruntukan Perkara 42 menghendaki YDPA untuk mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan dan oleh itu adalah amat tidak logik YDPA boleh menjalankan kuasa prerogatifnya di luar mesyuarat.
Ini akan menjadikan keputusannya itu bersifat arbitrari dan tidak selari dengan keputusan duluan Mahkamah sebelum ini (merujuk kes Dato Dr Zamry bin Abd Kadir v Dato Seri Ir Hj Mohammad Nizar bin Jamaluddin [2009] 5 MLJ 464)
- Perintah tahanan rumah.
Mahkamah tidak boleh mengeluarkan perintah mandamus kepada responden untuk melaksanakan tahanan rumah kerana perintah tersebut tidak mampu untuk dilaksanakan kerana tiada mekanisme pelaksanaan tahanan rumah di Malaysia.
Peguam Najib Razak berhujah bahawa tahanan rumah boleh dilaksanakan menggunakan S. 43 Akta Penjara 1995 yang menyebutkan pembebasan tahanan dengan lesen dan Peraturan 111 Peraturan-Peraturan Penjara 2000 yang menyebutkan hal yang sama.
Menurut Mahkamah, pembebasan dengan lesen ini dibuat oleh Ketua Pesuruhjaya Penjara yang dia sendiri menentukan tempoh tahanan sedangkan Titah Addendum telah menetapkan tempoh. Mahkamah mendapati perintah tahanan rumah mengikut Titah Addendum itu berbeza dengan pembebasan dengan lesen.
Kesimpulan mahkamah
1) YDPA adalah Raja Berperlembagaan dan menjalankan fungsinya menurut Perlembagaan termasuk kuasa berkaitan pengampunan.
2) Titah Addendum tidak pernah dibincangkan di dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 dan oleh itu tidak mematuhi kehendak Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, tidak memenuhi syarat bagi non-justiciability.
3) Najib Razak tidak berhak mendapat perintah mandamus bagi tahanan rumah.
NOTA TAMBAHAN
- Jika dilihat kepada responden yang terlibat ini termasuklah Dato Azalina Othman Said selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Responden Kelima). Kes ini pun difailkan pada tahun 2024.
Maksudnya, penyokong Najib Razak di kalangan ahli UMNO mempunyai akses terhadap perjalanan kes ini terutamanya untuk melihat semua kertas kausa dan afidavit.
Oleh itu, tidak sepatutnya keputusan kes ini dijadikan isu perbalahan politik mana-mana parti dan biarlah Mahkamah teguh di atas prinsip pemisahan kuasa, eksekutif, legislatif dan kehakiman.
No comments:
Post a Comment