Seorang pemimpin Bersatu mengingatkan ahli parti itu supaya tidak “beria-ia” menyertai himpunan solidariti untuk Datuk Seri Najib Razak di Istana Kehakiman pagi ini.
Kata Setiausaha Bersatu Wilayah Persekutuan, Mahathir Rais, UMNO yang sama parti dengan Najib Razak pun mengumumkan tidak berhimpun, mengapa Bersatu pula bersungguh mahu bersolidariti.
“Adalah lebih baik jika ahli parti tidak terlibat. Sedangkan, UMNO parti yang berkaitan secara langsung dengan Najib tidak turut serta, mengapa pula kita perlu beriya-iya mahu bersama?” katanya memetik FMT.
Mengenai tindakan rakan sekutunya, Pas kekal menyertai himpunan itu, Mahathir berkata pihaknya menghormati keputusan rakan komponen kerana hak berhimpun termaktub dalam undang-undang.
Namun katanya, penting memastikan himpunan tidak mencetuskan sebarang provokasi atau ketegangan dalam masyarakat.
Hari ini Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan titah Adendum yang dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu.
Pihak Jabatan Siasatan dan Pengutakuasaan Trafik (JSPT) sudah mengatur petugas ke lokasi itu sejak tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed menyeru orang ramai untuk berhimpun di Istana Kehakiman hari ini kerana ia tidak mendapat kebenaran, sekali gus tidak mematuhi syarat termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.
Polis memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menyertai himpunan yang melanggar undang-undang.