Himpunan Hadapan Istana Kehakiman Hanya Dihadiri Kira-Kira 100 Orang
PUTRAJAYA, 6 Jan – Hanya kira-kira 100 penyokong Datuk Seri Najib Razak dan penyokong Pas berkumpul di luar Istana Kehakiman bagi menyertai solidariti terhadap bekas perdana menteri itu berhubung prosiding Mahkamah Rayuan bagi menentukan ada atau tiada Titah Adendum.
Tinjauan mendapati orang ramai mula hadir di luar Istana Kehakiman seawal jam 7 pagi dan turut kelihatan hadir bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz.
Kebanyakannya berada di kawasan sekitar gerai berhadapan bangunan mahkamah itu sambil memerhatikan dari jauh dengan kawalan pasukan keselamatan.
Sementara itu Najib dilihat tiba memasuki bangunan Istana Kehakiman pada jam 8.30 pagi diiringi kenderaan anggota penjara.
Penyokong yang berada di luar Istana Kehakiman turut melaungkan ‘Hidup Bosku’ sebagai menyambut kehadiran Najib.
Setakat jam 8.50 pagi tadi, bilangan yang hadir untuk mengikuti prosiding dan menyertai himpunan tanda solidariti kepada bekas Ahli Parlimen Pekan itu semakin bertambah.
Pendengaran yang pada asalnya dijadualkan pada 5 Disember tahun lalu dimulakan di hadapan panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Datuk Azizah Nawawi, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril.