SEPANG, 6 Jan – Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir ke Majlis Peluncuran Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) di sini pada Isnin.
Perdana Menteri tiba di Hangar 6 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 10.30 pagi diiringi Timbalan-timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof bersama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing.
Yang turut hadir, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Exco pelancongan dan kebudayaan negeri-negeri termasuk menteri-menteri pelancongan dari Sabah dan Sarawak.
Datuk Seri Anwar dijadual menyampaikan ucapan perasmian seterusnya melancarkan Logo dan Maskot VM2026 serta lagu rasmi bertemakan ‘Malaysia Truly Asia’ sebagai simbolik peluncuran.
Selaku Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia melihat potensi memacu pertumbuhan sektor pelancongan dapat digarap dengan lebih pesat pasca peluncuran yang dilangsungkan hari ini.
Menurut Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, persediaan negara perlu dimulakan dari sekarang.
“Kejayaan Tahun Melawat Malaysia 2026 berpotensi menjana limpahan ekonomi dalam pelbagai sektor dan memberi manfaat kepada industri kecil dan sederhana tempatan.
“Mesyuarat Hala Tuju Sektor Pelancongan Negara memperincikan pelbagai strategi dan inisiatif untuk melonjakkan industri pelancongan negara. Insya-Allah, Malaysia akan kembali sebagai destinasi utama tarikan pelancong dalam dan luar negara,” katanya pada 23 November tahun lalu.