Anwar antara 10 pemimpin dunia yang diperhatikan pada 2025, kata media Singapura



 

Media Singapura menyenaraikan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai antara 10 pemimpin dunia yang diperhatikan pada 2025 sebaris dengan Presiden AS, Donald Trump.

Anwar menggalas tugas besar pada tahun 2025 apabila memulakan tanggungjawab memimpin rantau Asia Tenggara selaku Pengerusi ASEAN.

Media luar melaporkan, kepengerusian Anwar akan menguji kepimpinan Asean beliau dalam memajukan rantau ini.

Dua inisiatif besar Asean, yang bertahun-tahun diusahakan, dijangka akan dimuktamadkan di bawah pengawasan Datuk Seri Anwar.

Pertama ialah penambahbaikan kepada Kawasan Perdagangan Bebas Asean-China, yang akan meningkatkan pertukaran dan pelaburan ekonomi antara wilayah.

Kedua ialah Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital, yang diunjurkan menggandakan saiz ekonomi digital Asean pada 2030 dengan mengurangkan halangan dan membangunkan piawaian untuk e-dagang rentas sempadan, pembayaran digital dan penggunaan kecerdasan buatan (AI).


“Anwar akan mengaitkan kejayaan ASEAN sebagai hasil daripada usahanya untuk menarik lebih banyak pelaburan asing ke rantau ini dan memajukan pembangunan ekonomi Malaysia secara keseluruhan.

“Namun, dia mahukan lebih banyak lagi – peluang menjadi pemimpin global,” lapor The Straits Times.

Anwar adalah pemimpin yang melihat jawatan pengerusi ASEAN Malaysia 2025 sebagai peluang untuk mengubah dunia dan hala tuju kumpulan itu.

Mengkritik “dunia unipolar lama”, pemimpin berusia 77 tahun itu menyeru perubahan dalam sistem kewangan global yang dianggapnya mengutamakan Negara-Negara Utara berbanding Negara-Negara Selatan.

Pengkritik mungkin menganggapnya sebagai oportunis, tetapi Anwar berkata sudah tiba masanya Negara-Negara Selatan (dan Timur) memainkan peranan dalam mengubah struktur yang “menyisihkan negara membangun”.