Prabowo Sahabat Setia, Sentiasa Ada Ketika Senang Dan Susah – PM Anwar

 


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut ketibaan Presiden Prabowo Subianto untuk acara minum petang sempena lawatan negara Presiden Indonesia itu ke Malaysia di Menara Berkembar PETRONAS, Kuala Lumpur pada Isnin. Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 27 Jan – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto sebagai sahabatnya yang setia, sentiasa ada dekat dengannya ketika senang dan susah.

Perdana Menteri berkata tidak ramai yang berada bersama beliau ketika dalam kesusahan, namun Probowo tidak pernah meninggalkannya walaupun ketika mempunyai kedudukan.

“Dalam masa duka lara saya, tidak ramai (yang ada). Kita boleh cakap keikhlasan dan kehebatan mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut ketibaan Presiden Prabowo Subianto untuk acara minum petang sempena lawatan negara Presiden Indonesia itu ke Malaysia di Menara Berkembar PETRONAS, Kuala Lumpur pada Isnin. Foto Bernama

“Saya senaraikan Probowo antara yang terkecuali kerana kedekatan dan kesungguhan sehingga menimbulkan ketidaksenangan serta kemarahan daripada sesetengah pihak.

“Bagaimanapun, tentunya setiap kali mempunyai kesempatan, beliau tidak pernah meninggalkan walaupun semasa itu ada jawatan dan kedudukannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Prabowo di sini, hari ini.

Terdahulu Anwar menganjurkan majlis minum petang bagi meraikan Prabowo di mercu tanda ikonik, Menara Berkembar PETRONAS, di sini, hari ini.

Anwar (dua, kanan) bertukar pandangan mengenai kerjasama dua hala bersama Presiden Indonesia Prabowo Subianto (tiga, kiri) diikuti dengan majlis minum petang di Menara Berkembar PETRONAS, hari ini bersempena lawatan negara Prabowo ke Malaysia.

Berlatar belakangkan pemandangan indah latar langit kotaraya Kuala Lumpur dari tingkat 40 Menara 1, kedua-dua pemimpin dijadualkan meluangkan masa kira-kira satu jam menjamu selera sambil berbual secara santai.

Selain delegasi Indonesia, majlis itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.



No comments: