Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta agar perhimpunan pesawah dari seluruh negara hari ini tidak mengganggu lawatan rasmi Presiden Indonesia Prabowo Subianto ke Malaysia.
Beliau berkata, kerajaan tidak menghalang untuk diadakan pertemuan menyerahkan memo kepada menteri pertanian, tetapi ia seharusnya dilakukan pada masa sesuai.
“Saya tidak menghalang adakan pertemuan nak serah memo kepada Menteri Pertanian.. silakan, tetapi buat urusan, tetapkan masa yang sesuai,” katanya malam tadi memetik Bernama.
Perdana Menteri berkata, beliau tidak setuju sama sekali diadakan apa-apa perhimpunan yang mengganggu urusan lawatan berkenaan dan meminta kumpulan pesawah itu untuk menghubungi Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
“Sebaiknya, saya minta elak (perhimpunan). Kita kalau mahu jumpa, nak bantah, nak ada perhimpunan aman, silakan, tetapi janganlah ambil kesempatan itu untuk mengganggu majlis rasmi yang melibatkan negara sahabat,” katanya.
Prabowo akan mengadakan lawatan negara ke Malaysia hari ini, yang mencerminkan hubungan persahabatan kukuh dan istimewa antara Malaysia dan Indonesia.
Menurut laporan media lebih 1,000 pesawah dari seluruh negara akan berkumpul di Putrajaya bagi menghantar memorandum kepada Perdana Menteri esok berkaitan tuntutan supaya harga lantai belian padi dinaikkan kepada RM1,800 untuk satu tan metrik.
No comments:
Post a Comment