PM Anwar Santuni Rakyat Malaysia Di Belgium, Luxemborg

 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan diaspora Malaysia di Belgium dan Luxemborg semasa majlis minum petang bersama Perdana Menteri di Brussels pada Ahad. Foto Bernama

BRUSSELS, 19 Jan – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri pertemuan dengan kira-kira 200 rakyat Malaysia yang menetap di Belgium dan Luxembourg pada majlis jamuan minum petang di sini pada Ahad.

Anwar diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani disambut Presiden Persatuan Malaysia di Belgium Sarala Shambulingam.

Pada majlis itu Anwar yang juga Menteri Kewangan beramah mesra dengan rakyat pelbagai kaum bagi bertukar-tukar pandangan tentang perkembangan semasa yang teruja dengan kehadiran sulung beliau sejak menjawat jawatan pada November 2022.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba bagi menghadiri majlis minum petang dan beramah mesra dengan diaspora Malaysia di Belgium dan Luxemborg bersama Perdana Menteri di Brussels pada Ahad. Foto Bernama

Beliau kemudiannya dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Majlis Islam Belgium, satu-satunya badan pertubuhan rasmi Islam di negara itu bagi bertukar-tukar pandangan tentang perkembangan semasa dunia Islam di benua Eropah termasuk di Belgium.

Dalam lawatan sulung beliau ke Belgium, Perdana Menteri dijangka membincangkan isu perdagangan, krisis Timur Tengah dan Rusia–Ukraine, semasa pertemuan dengan pemimpin Belgium dan EU.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan diaspora Malaysia di Belgium dan Luxemborg semasa majlis minum petang bersama Perdana Menteri di Brussels pada Ahad. Foto Bernama

Pertemuan julung kali itu amat bermakna kerana Malaysia merupakan antara negara pengeksport terbesar ke EU yang dianggotai 28 buah negara bagi tempoh Januari hingga November 2024, perdagangan dua hala Malaysia dengan EU, termasuk Belgium, berjumlah RM200 bilion (AS$43.71 bilion).

Pada Isnin, Anwar dijadualkan bertemu Perdana Menteri sementara Belgium Alexander De Croo untuk membincangkan mengenai hubungan dua hala Malaysia–Belgium dan meningkatkan kerjasama serta bertukar-tukar pandangan tentang isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Pesawat membawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendarat di Lapangan Terbang Brussels bagi memulakan lawatan kerja dua hari ke Belgium pada Ahad. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Beliau kemudian akan bertemu pegawai tertinggi EU, bermula dengan Kaja Kallas, Wakil Tinggi EU bagi Hal Ehwal Luar Negeri dan Dasar Keselamatan/Naib Presiden Suruhanjaya Eropah (HR/VP).

Ia disusuli dengan pertemuan empat mata antara Perdana Menteri dengan Pengerusi Majlis Eropah Antonio Costa untuk membincangkan kaedah mengeratkan hubungan Malaysia–EU dan kerjasama serantau.

Selaku Pengerusi ASEAN 2025, Perdana Menteri akan mengambil peluang melalui lawatan kerja ini untuk mengetengahkan keutamaan Malaysia dalam hala tuju Kepengerusian Malaysia yang bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”.

Pesawat membawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendarat di Lapangan Terbang Brussels bagi memulakan lawatan kerja dua hari ke Belgium pada Ahad. Foto Facebook Anwar Ibrahim