Agenda ASEAN 2025 Jadi Fokus Utama PM Anwar Di WEF 2025 Davos

 


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menghadiri Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Davos, Switzerland pada 20 hingga 24 Januari ini.

DAVOS, 20 Jan – Selaku Pengerusi ASEAN 2025, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengetengahkan suara kolektif negara anggota blok itu di pentas dunia ketika bakal menghadiri Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia 2025 (WEF 2025) di sini yang bermula pada Isnin.

Menurut Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Datuk Nadzirah Osman, kehadiran Anwar yang juga Menteri Kewangan hingga Jumaat ini di WEF 2025 juga penting dalam usaha menarik peluang perdagangan dan pelaburan baharu seiring dengan sasaran ekonomi jangka panjang negara.

Pada masa sama, beliau turut menekankan penyertaan Perdana Menteri dalam WEF 2025 akan melonjakkan profil dan kepimpinan negara ini seiring dengan Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun ini.

“Kehadiran Perdana Menteri di Davos akan mengetengahkan keutamaan, inisiatif dan cabaran dihadapi ASEAN serta rantau ini, termasuk isu bersama seperti perubahan iklim, tenaga boleh baharu, transformasi digital dan pembangunan mampan.

“Ini turut membuka peluang bagi kerjasama strategik antara ASEAN dan komuniti antarabangsa, termasuk peluang pelaburan serta pembiayaan teknologi bagi rantau itu,” katanya pada sidang media menjelang kehadiran Perdana Menteri di WEF 2025.

Anwar dijadual tiba di Davos pada lewat malam ini selepas menamatkan lawatan kerja beliau ke Brussels, Belgium.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menghadiri Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Davos, Switzerland pada 20 hingga 24 Januari ini. Foto LinkedIn WEF

Davos juga merupakan destinasi terakhir lawatan kerja Perdana Menteri yang bermula di Abu Dhabi (Emiriah Arab Bersatu atau UAE), London (United Kingdom) dan kini di Brussels, Belgium.

WEF 2025 merupakan penyertaan pertama Anwar sejak menyandang tugas Perdana Menteri dan akan menghadiri persidangan itu selama dua hari, diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Tambah Nadzirah, antara program berimpak tinggi yang akan disertai Anwar adalah Dialog Strategi Negara dengan kalangan pemimpin perniagaan syarikat global yang menyaksikan Perdana Menteri berkongsi keutamaan dan inisiatif Malaysia dalam perdagangan dan pelaburan, selain meneroka peluang kerjasama bagi memperkukuhkan daya tahan ekonomi negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat delegasi Forum Ekonomi Sedunia (WEF) diketuai Pengerusi Eksekutif Prof Klaus Schwab pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 di Vientiane pada 10 Oktober 2024. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Perdana Menteri akan turut menerajui sesi taklimat dengan media antarabangsa yang bertemakan “Unlocking ASEAN’s Digital Future: Driving Inclusive Growth and Global Competitiveness,” dengan tumpuan terhadap Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) dan peluang dalam transformasi digital.

“Selain itu, Perdana Menteri akan menyampaikan ucaptama pada Sesi Awam Peringkat Tinggi : Pleno ASEAN yang bertajuk ‘Even Stronger Together.’

“Beliau juga akan mengetengahkan keutamaan Kepengerusian ASEAN-Malaysia bagi 2025 dan peranan penting ASEAN dalam membentuk landskap ekonomi global,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat delegasi Forum Ekonomi Sedunia (WEF) diketuai Pengerusi Eksekutif Prof Klaus Schwab pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 di Vientiane pada 10 Oktober 2024. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Jadual padat Anwar juga dijangka menyaksikan beliau mengadakan beberapa siri mesyuarat dengan pemimpin dari negara dan syarikat tertentu dalam usaha mengukuhkan kerjasama membabitkan kepentingan bersama.

Agenda itu termasuk mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Libya dan Belanda, selain perbincangan bersama pemimpin perniagaan mewakili AstraZeneca, DP World, Medtronic, Nestlé dan Google.

Perdana Menteri akan turut menerima kunjungan hormat Pengasas WEF dan Pengerusi Lembaga Amanah, Klaus Schwab.

Bertemakan “Collaboration for the Intelligent Age” Mesyuarat Tahunan WEF 2025 bermula hari ini hingga 24 Januari ini akan menumpukan peranan teknologi baharu dan inovasi dalam menangani cabaran ekonomi global.

Topik perbincangan itu akan menyentuh lima keutamaan iaitu Industri Dalam Era Pintar; Membangunkan Semula Kepercayaan; Penciptaan Baharu Pertumbuhan; Pelaburan bagi Manusia dan Melindungi Planet.


No comments: