PKR JANGAN KECIL HATI DENGAN NUR JAZLAN
5 October 2024
Walaupun sudah dua hari berlalu, masih ramai yang bercakap mengenai teguran Ahli MT UMNO, Nur Jazlan Mohamed yang menyatakan PKR dan Amanah bukanlah pemain sebenar dalam politik negara ini.
Sebaliknya, kata Timbalan Speaker Dewan Negara itu, UMNO, DAP dan GPS di Sarawak adalah watak utama dalam kerajaan perpaduan yang ada sekarang.
“Dalam konteks permainan poker politik, hanya mereka yang benar-benar ada skill, kekuatan dan pengalaman saja yang layak dan mampu bertahan di meja utama.
“Bagi saya hanya UMNO, DAP dan GPS saja yang boleh diibaratkan sebagai pemain poker profesional yang tahu bila nak “bluff,” bila nak “raise” dan bila nak ambil risiko.
“Parti ini saja pemain sebenar dalam politik Malaysia sejak awal merdeka dulu,” kata beliau.
Sehubungan itu, beliau juga mengingatkan kepada PKR dan Amanah bahawa politik ini bukan sekadar berharap kepada nasib semata-mata.
“Dalam Kerajaan Perpaduan, UMNO dan DAP adalah pemain utama yang menguasai meja poker sebab kita ada kekuatan ahli, penyokong dan jentera,” katanya.
PKR dan Amanah kena sedar mereka tidak ada kelebihan tersebut.
“Jadi mereka patut tak boleh duduk di meja poker. Biarlah saya cakap terus terang; bukan setakat dalam politik di nasional, di peringkat politik di Johor pun, PKR dan Amanah kurang layak duduk semeja main poker politik.
“Realitinya, mereka ini hanya passengers (penumpang) yang nak rebut seat (kerusi) dalam kapal terbang yang dikemudi dua pilot iaitu UMNO dan DAP,” tambahnya.
Khususnya kepada orang-orang PKR, tentu saja mereka tersinggung, melenting dan marah dengan apa yang dinyatakan Nur Jazlan itu kerana Perdana Menteri, Anwar Ibrahim adalah daripada PKR.
Tentulah sukar mereka menerima bahawa PKR bukan dianggap sebagai pemain utama sedangkan kerusi Perdana Menteri milik parti tersebut.
Tetapi, sebelum mahu membuka mulut dan mendongakkan mula meluahkan rasa marah, lihatlah realiti dulu.
Tanpa UMNO, dapatkah Anwar jadi Perdana Menteri?
Tanpa sokongan UMNO juga, mungkinkah datang sokongan daripada GPS?
Setelah terbentuk kerajaan perpaduan, lihatlah pula realiti sekali lagi – bukankah yang palng mewah menuai buah kejayaan daripada ladang kerajaan ialah UMNO, DAP dan GPS?
Tidakkah semua ini menandakan ketiga-ketiga parti itu merupakan pemain utama yang memang disedari oleh Anwar sendiri?
Pemimpin dan penyokong PKR dapat apa, malah ada pemimpin PKR mengeluh, mereka nak berjumpa Perdana Menteri di pejabatnya di Putrajaya pun masih sukar?
Dengan itu, kepada pemimpin dan penyokong PKR, jangan kecil hati atau tersinggung dengan apa yang dinyatakan oleh Nur Jazlan.
Beliau hanya memperkatakan kebenaran dan realiti yang sebenar.
Selain itu, dalam PRU16 akan datang, mahu tidak tahu, Anwar perlu bergantung sekali lagi kepada UMNO dan GPS untuk terus kekal berkuasa lagi bagi penggal kedua.
Itu pun, jika UMNO dan GPS masih sudi lagi untuk terus bersama Anwar?
Bagaimana jika jumlah kerusi Parlimen UMNO nanti jauh lebih besar daripada PKR?
Dalam PH, hanya DAP yang diyakini mampu bertahan dengan jumlah kerusi kemenangan seperti sekarang (40 kerusi) pada PRU16 akan datang, manakala PKR (31 kerusi) dan Amanah (8 kerusi) dipercayai akan kehilangan beberapa kerusi sedia ada berdasarkan penerimaan rakyat kini yang makin merosot kepada kedua-dua parti itu.
Hakikatnya, baik sekarang atau selepas PRU16 akan datang, UMNO dan GPS, selain DAP, sekali lagi akan menjadi pemain utama yang akan menentukan pembentukan kerajaan.
Bahkan, UMNO dan GPS juga tidak mustahil akan bekerjasama semula dengan PN sebagaimana mereka pernah bekerjasama sebelum ini jika bersama PH tidak lagi menguntungkan mereka.
Kata bijak pandai, tiada musuh yang kekal dan tiada kawan yang sejati dalam politik – yang kekal selama-lamanya hanyalah kepentingan peribadi.
PKR dalam hal ini kenalah sentiasa sedar dan ingat diri. – ShahbudinHusin 5Oktober2024.
https://shahbudindotcom.net/2024/10/05/pkr-jangan-kecil-hati-dengan-nur-jazlan.html