NAJIB DAPAT SOKONGAN AFIDAVIT KEDUA UNTUK JALANI TAHANAN RUMAH



Permohonan Najib Razak melalui semakan kehakiman untuk mengesahkan kewujudan titah adendum yang membenarkannya diberi tahanan rumah mendapat satu lagi sokongan melalui afidavit.


Jika sebelum ini, afidavit pertama melalui Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, kali ini afidavit kedua dilakukan oleh Menteri Besar Pahang yang juga Naib Presiden UMNO, Wan Rosdy Wan Ismail.


Sama seperti Zahid Hamidi, Wan Rosdy juga menyokong agar Najib diberikan tahanan rumah sebagaimana titah adendum dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.


Dalam afidavit berkenaan, Wan Rosdy berkata, beliau juga telah diberitahu mengenai kewujudan titah adendum supaya bekas Perdana Menteri itu menghabiskan baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah.


Dalam afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lepas, Wan Rosdy memberitahu, beliau dimaklumkan mengenai titah diraja itu oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan, Tengku Zafrul Abdul Aziz pada 30 Januari lalu.


“Tengku Zafrul Tengku telah memberitahu bahawa Yang di-Pertuan Aging ke-16 telah pun keluarkan keputusan permohonan pengampunan (keputusan pertama) iaitu mengurangkan perintah penjara sebanyak 50 peratus dan hukuman denda pula kepada RM50 juta sahaja.


“Kedua, dengan terbit keputusan pertama, Yang di-Pertuan Agong ke-16 telah mengeluarkan satu lagi perintah (perintah adendum) yang memerintahkan supaya Najib menjalani dengan serta merta hukuman penjaranya di dalam keadaan di rumah kediaman pemohon dan bukan di mana-mana penjara,” jelasnya.


Berdasarkan cop masa pada dokumen itu, Menteri Besar Pahang itu memfailkan afidavit berkenaan pada 21 Mei lalu.


Menurut Wan Rosdy lagi, selepas dimaklumkan mengenai dakwaan titah adendum itu, beliau kemudian menghadiri mesyuarat dengan beberapa pemimpin UMNO lain di rumah Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi di Kajang di mana perkara itu ada dibincangkan.


“Zahid Hamidi memberitahu dalam mesyuarat itu bahawa Zafrul telah memaklumkan perkara yang sama kepadanya sebelum ini, kata Wan Rosdy.


“Beliau (Zahid) juga menyatakan telah membaca perintah adendum tersebut sebagaimana ditunjukkan Zafrul kepadanya,” tambah Menteri Besar itu lagi.


Sebelum ini, Zahid memfailkan afidavitnya pada 9 April lalu bagi menyokong permohonan Najib untuk menghabiskan baki hukuman penjaranya di rumah.


Bagaimanapun, menurut surat-menyurat oleh Jabatan Peguam Negara kepada mahkamah sivil bertarikh 23 Mei, jabatan itu membantah permohonan Najib untuk memasukkan afidavit Wan Rosdy ke dalam prosiding.


AGC berhujah bahawa ini adalah kerana permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran mahkamah bagi memasukkan afidavit tambahan oleh Wan Rosdy dibuat sangat lewat dalam prosiding semakan kehakiman.


Peguam responden berhujah bahawa Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 tidak membenarkan pemfailan lewat sedemikian, terutamanya apabila mahkamah sivil telah mendengar hujahan lisan pihak-pihak terlibatpada 17 April, dan telah menetapkan 5 Jun ini untuk memutuskan sama ada Najib boleh mendapatkan kebenaran untuk meneruskan semakan kehakiman itu atau sebaliknya.


Najib memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman pada 1 April lalu ketika menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang atas sabitan dalam kes rasuah SRC International melibatkan dana RM42 juta.


Menurut afidavit Najib bagi menyokong semakan kehakiman tersebut, bekas Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa, titah diraja membenarkan pengurangan hukuman itu disertakan dengan perintah tambahan yang mengandungi perintah tahanan rumah.


Bekas Presiden UMNO itu seterusnya memohon perintah mahkamah agar menteri dalam negeri, peguam negara, Lembaga Pengampunan, kerajaan persekutuan, dan beberapa responden lain mengesahkan tidah adendum berkenaan.


Menurut salinan permohonan semakan kehakiman itu, Najib mendakwa Agong mengeluarkan titah adendum pada 29 Januari, hari yang sama dengan titah agar hukuman terhadapnya dikurangkan.


Najib memohon perintah mahkamah agar responden bukan sahaja mengesahkan titah tambahan itu tetapi juga “mengeluarkan segera pemohon dari penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur, di mana pemohon akan terus menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah.”


Najib juga memohon perintah mandamus untuk memaksa responden memberikan versi asal titah adendum, kos, dan sebarang relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.


Najib mendakwa dalam afidavitnya bahawa haknya telah terjejas dan dicabuli oleh responden apabila mengabaikan pertanyaannya berhubung titah adendum tersebut.


Beliau mendakwa tindakan responden yang tidak menghiraukan permintaannya merupakan pencerobohan langsung terhadap hak asasinya di bawah Perlembagaan Persekutuan dan juga penghinaan langsung kepada Agong.


Najib seterusnya mendakwa bahawa responden cuba menyembunyikan kewujudan titah adendum itu.


https://shahbudindotcom.net/2024/05/27/najib-dapat-sokongan-afidavit-kedua-untuk-jalani-tahanan-rumah.html



No comments: