PMX MEMPENGERUSIKAN MPN

 



Hari ini saya telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Bilangan 1 tahun ini yang membincangkan mengenai strategi dan hala tuju bagi meningkatkan pelaburan dalam negara.

Mesyuarat memutuskan bahawa pelaburan hijau (green investments) adalah antara bidang yang berpotensi untuk negara dan perlu dipertingkatkan. Dalam hubungan ini, Kerajaan akan membangunkan kerangka dasar beserta pelan khusus bagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi dan hab pelaburan hijau utama serantau. Ini juga merupakan kesinambungan pelbagai inisiatif di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) untuk menggerakkan pelaburan ke dalam sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi.

Terkait dengan penekanan terhadap pelaburan hijau, diputuskan juga bagi menjenamakan projek Kerajaan Persekutuan yang diumumkan di dalam Belanjawan 2024 iaitu Kerian Integrated Industrial Park, sebagai Kerian Integrated Green Industrial Park. Ianya diharap akan menjadi pencetus kepada peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui secara sepenuhnya oleh industri-industri yang bakal dibangunkan di taman perindustrian tersebut.

Mesyuarat juga membincangkan kepentingan industri semikonduktor yang menyumbang kepada 7.1% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara. Sehubungan itu, diputuskan penubuhan National Semiconductor Strategic Task Force (NSSTF) sebagai satu platform khusus untuk membangunkan ekosistem semikonduktor dan menarik pelaburan strategik dalam sektor ini.

Kesemua usaha ini adalah langkah-langkah dalam memastikan pelaksanaan pelaburan ke dalam negara akan mencapai objektif Ekonomi MADANI, termasuk meletakkan Malaysia pada kedudukan 30 teratas dari segi ekonomi terbesar dunia, dan 12 teratas dari segi daya saing global dalam tempoh 10 tahun.

#MalaysiaMADANI

 

No comments: