Oleh: Helmi Mohd Foad
Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu syarikat pelaburan berkaitan
kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengurangkan pelaburan di
luar negara sebaliknya meningkatkan pelaburan dalam negara.
Perdana Menteri berkata sekiranya tiada alasan menarik, tumpuan
pelaburan di seberang laut perlu dikurangkan dan kelonggaran akan diberikan
sekiranya terdapat keperluan.
"Saya beri beberapa arahan untuk harus juga ada penekanan
pengurangan pelaburan di luar negara kerana kalau alasannya tidak menarik maka
apa kemunasabahan kita mengadakan kempen menarik pelabur asing ke
Malaysia," kata beliau ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Warga
Kementerian Kewangan (MoF) di Putrajaya hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata GLIC dan GLC juga perlu
melaksanakan tanggungjawab korporat lebih besar dalam pembangunan negara
termasuk meningkatkan kebajikan pekerja mereka.
"Ada 15,000 pekerja, 5,000 pekerja tiada rumah, tak
mungkinkah kita fikir ada rencana untuk membina perumahan untuk pekerja
sendiri?
"Kita catat keuntungan dengan cakap soal pengkomersialan dan
kita bebankan kelompok yang agak pendapatan rendah ini kepada kementerian dan
kerajaan untuk menangani, saya tidak fikir itu munasabah," kata beliau.
Perdana Menteri turut meminta GLIC dan GLC memberikan laporan
kepada kerajaan berkaitan perancangan mereka mengenai rencana pelaburan,
Bumiputera, perumahan pekerja dan pendidikan termasuk meningkatkan mutu
pendidikan.
Terdahulu Anwar merakamkan penghargaan kepada Lembaga Hasil Dalam
Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kerana berjaya melepasi
sasaran kutipan hasil yang ditetapkan tahun lepas.
Pada tahun lepas, LHDN berjaya mengutip sebanyak RM183 bilion
berbanding RM175 bilion pada 2022 manakala JKDM pula mengutip hasil mencecah
RM55 bilion berbanding RM53 bilion pada tahun sebelumnya.