Abu Mishkat
Apabila beliau dituduh membawa ajaran liberal (dengan maksud jahat dan hodoh) untuk menolak ulama ASWJ, saya terdorong untuk mengenalinya secara lebih dekat.
Rupanya beliau menulis bukunya yang bertajuk Islam, Authoritarianism and Underdevelopment: A Global and Historical Comparison adalah untuk umat Islam mencari dan menilai sebab-sebab kemunduran umat Islam berbanding bangsa-bangsa lain. Buku tersebut disertakan dengan sekitar 1,000 rujukan bibliografi tersenarai di bahagian akhirnya.
Sangat menjengkelkan dan memalukan apabila seorang yang sepatutnya menghidupkan budaya wacana intelektual, telah membuat tohmahan dan tuduhan semberono sebelum membaca habis buku yang ditulis Ahmet T. Kuru.
Khalif Muammar belum mengenali Ahmet T. Kuru, tetapi beliau telah melabelkan T. Kuru sebagai seorang yang ".. tidak memahami dan mengkaji sejarah Islam,... Pengetahuan dia tentang agama Islam sangatlah sedikit.. "
Kenyataan demikian bukanlah sikap dan sifat seorang ilmuan atau ahli akademik yang terhormat, sebaliknya saling tidak tumpah seorang pentaksub terendah yang berada di garisan paling bawah.
Untuk pengetahuan Khalif Muammar dan pengikutnya, Ahmet T. Kuru boleh berbahasa Arab dan Perancis di samping bahasa ibundanya Turkiye dan bahasa tempat tinggal di US. Beliau sempat bertalaqqi kitab Ihya 'Ulumiddin karya Imam al-Ghazali dari kulit ke kulit di Turkiye di zaman remajanya sebelum berhijrah ke US.
Latar belakang keluarganya kuat beragama, bukan sekular. Sebagai seoarang yang rapat dengan ramai pelajar Turkiye di Universiri al-Azhar dulu, saya secara peribadi boleh mengenali mana orang Turkiye yang beragama, mana yang meremehkan agama.
Setelah mendekati dan mendengar daripada mulutnya sendiri, saya pasti tuduhan Khalif Muammar adalah tidak berasas selain daripada prasangka terhadap sesama muslim.