Bukan Anwar Ibrahim untuk rakyat, tetapi Artificial Intelligence untuk rakyat.









Rafizi Ramli


 Bukan Anwar Ibrahim untuk rakyat, tetapi Artificial Intelligence untuk rakyat.


Terima kasih YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim kerana memberi keutamaan untuk meluncurkan program AI Untuk Rakyat yang dibangunkan bersama Kementerian Ekonomi (melalui agensi MyDigital) dan Intel.


Bidang digital & tech adalah satu daripada 5 industri high growth, high value (HGHV) yang menjadi teras penstrukturan ekonomi negara. Kementerian Ekonomi bekerjasama dengan kementerian dan agensi lain, serta industri, untuk membangunkan pelan dan program khusus dalam bidang ini.


Satu pelan tindakan yang menggariskan pendekatan bersepadu negara dalam bidang digital & tech akan diluncurkan dalam bulan Mac 2024. Pelan yang dinamakan KL20 ini bertujuan membina Kuala Lumpur sebagai salah satu dari 20 ekosistem digital & tech terbaik di dunia menjelang 2030.


Ada tiga komponen utama untuk mencapai hasrat itu:


1) Dasar dan hala tuju kerajaan untuk membina ekosistem – pelan KL20 yang akan diluncurkan melengkapi dasar-dasar sedia ada untuk merancakkan industri digital & tech dan menjadikan Malaysia/Kuala Lumpur tumpuan pelaburan digital & tech di rantau ini.


2) Tatakelola dan keterbukaan data – selain dari inisiatif yang telah dimulakan seperti OpenDOSM, PADU dan govtech, kerajaan akan memperkukuhkan aspek perundangan melibatkan perkongsian dan perlindungan data selari dengan usaha mempercepatkan keterbukaan dan perkongsian data.


3) Ketersediaan bakat digital – program-program pemahiran digital di pelbagai peringkat akan terus dibangunkan. Kementerian Ekonomi telah membangunkan program Executive Digital Leadership (bagi peringkat kepimpinan organisasi awam dan swasta), program Skill at Scale untuk melahirkan professional dalam bidang digital & tech akan diluncurkan tahun ini dan program AI Untuk Rakyat.


AI Untuk Rakyat bertujuan membawa kefahaman dan pengetahuan asas dan sederhana mengenai AI kepada semua lapisan masyarakat. 


Platform AI Untuk Rakyat di www.ai.gov.my membolehkan sesiapa sahaja melalui sesi pembelajaran kendiri selama 4 jam untuk memahami asas dalam bidang AI. Sasarannya ialah 1 juta rakyat Malaysia telah melalui proses ini dalam tahun 2024, yang akan meningkatkan minat dan keterbukaan rakyat Malaysia (terutama generasi muda) dalam AI.


Saya berterima kasih kepada YAB Perdana Menteri yang telah memberi arahan on the spot supaya program ini dilaksanakan segera di sekolah-sekolah dan universiti-universiti. PM juga memaklumkan anggota Jemaah Menteri juga diwajibkan melalui proses ini, agar masyarakat kita mendepani usaha menjadi celik AI di rantau ini.


Saya jemput semua rakyat Malaysia mendaftar dan memulakan sesi kendiri 4 jam ini di www.ai.gov.my


Ini lebih bermanfaat dari meratib kerajaan akan tumbang seperti menunggu bulan jatuh ke riba.