Dunia telah menyaksikan 100 hari pembantaian tanpa henti rejim biadab Israel ke atas warga Palestin sejak 7 Oktober tahun lalu.
Ini adalah kesinambungan daripada lebih tujuh dekad kezaliman yang telah pun diterjemahkan secara jelas melalui pendirian serta kebijakan rejim Israel terhadap rakyat Palestin. Kenyataan serta pandangan perkauman sisi kanan yang dihambur para pemimpin Zionis ke atas rakyat Palestin tambah menjelas sikap melampau Zionis Israel.
Sebagai rakyat, meski dinafikan segala hak dan asas kehidupan serta sentiasa dipaksa untuk hidup dalam ketakutan, namun rakyat Palestin tetap terus keras mempertahan tanah air dan maruah bangsa.
Setakat hari ini sejak 7 Oktober yang lalu, Israel telah membunuh seramai 24,100 rakyat yang tidak berdosa, dan Israel terus dipencilkan warga serta komuniti antarabangsa.
Tindakan berani Afrika Selatan dalam melonjak persoalan ini ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) semestinya didukung oleh seluruh dunia dan warga yang waras. Negara-negara Barat seolah ingin terus bermuka-muka dan mengambil pendirian selamat ketimbang mengheret Israel ke muka dan neraca pengadilan yang sewajarnya. Mantra ‘hak asasi manusia’ yang sering dihala ke negara-negara yang tidak sebulu dengan mereka kini tidak lagi kedengaran.
Gelombang penentangan terhadap Israel yang kita saksikan hari ini adalah yang terbesar sejak demonstrasi raksasa menentang Perang Vietnam dan pencerobohan ke atas Iraq dan Afghanistan dahulu.
Malangnya, gelombang penentangan ini belum menjentik nurani pemimpin di negara-negara Barat untuk mengambil pendirian yang menyemangati apa yang mereka paksakan ke atas negara lain selama ini. Israel mesti dibicarakan dan kekejaman mereka mesti didobrak dengan pelbagai cara yang ada.
Malaysia mengulangi pendiriannya untuk mendukung langkah Afrika Selatan di ICJ bersama negara-negara sahabat yang lain menegak keadilan dan membenam kezaliman.
"We know too well that our freedom is incomplete without the freedom of the Palestinians." (Nelson Mandela)
ANWAR IBRAHIM