HAMZAH SAHKAN TIADA LANGKAH DUBAI DIRANCANG

 

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mendakwa pembangkang sendiri tidak tahu menahu mengenai rancangan Langkah Dubai yang didakwa akan digunakan bagi mengguling kerajaan.

Beliau berkata, perkara itu adalah fitnah yang direka dan dimainkan pihak tertentu yang jelas tidak langsung memberi manfaat kepada rakyat.

“Cerita Langkah Dubai terus berada dalam media sosial. Siapa yang mulakan? Siapa yang menggelabah? Siapa yang terpaksa buat laporan polis? 

“Siapa yang menjawab bahawa pembangkang tidak ada cukup sokongan? Siapa pula yang minta pembangkang bawa dalam Parlimen?” katanya dalam kenyataan di media sosialnya, hari ini.

Laporan mengenai Langkah Dubai bermula pada 30 Disember lalu, apabila BH melaporkan Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop, dilaporkan mendakwa Langkah Dubai timbul ketika percutian pemimpin Perikatan Nasional (PN) termasuk beberapa wakil parti kerajaan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

Beliau mendakwa, pertemuan itu berlangsung untuk berunding selain menetapkan tugas tertentu kepada ‘pegawai’ yang dipertanggungjawab untuk mengenal pasti Ahli Parlimen yang berpotensi beralih sokongan kepada pembangkang dengan sogokan, semata-mata mahu menubuhkan kerajaan ‘tebuk atap’.

Selain pemimpin PN, beliau dilaporkan mendakwa ada juga pembabitan tokoh politik veteran berpengaruh berpangkat Tun yang bersekongkol dengan pembangkang termasuk dikatakan menggunakan ‘sumber asing’ untuk menggulingkan pentadbiran diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim

Hamzah yang juga Setiausaha PN dan BERSATU, menegaskan kenyataan politik semata-mata tidak boleh menyelesaikan masalah rakyat dan tuduh-menuduh bukan jalan penyelesaian. 

Katanya, berdendam sesama rakan atau saudara juga bukan penyelesaian, sebaliknya kerajaan perlu menerima hakikat bahawa mereka juga mempunyai banyak kelemahan dan kepincangan. 

“Ketidakcekapan dalam mengurus ini harus diatasi segera. Ekonomi yang baik boleh membantu. Mencari dan mencipta kekayaan baru negara juga boleh membantu. 

“Kuasa yang ada gunakanlah untuk menyelesaikan kelembapan ekonomi, bukan menakut-nakutkan pelabur -sama ada pelabur tempatan mahu pun pelabur luar negara.

“Yakinkan rakyat bahawa kerajaan mampu mengurus masalah ekonomi, sosial dan keselamatan negara. Yakinkan kepada semua bahawa kerajaan sedang berusaha untuk semua, tak kira bangsa atau agama,” katanya. 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Larut, mahu kerajaan menunjukkan keadilan kepada semua dan amalan demokrasi diteruskan dan undang-undang janganlah disalah tafsirkan.

“Jangan menakut-nakutkan semua pihak dalam negara. Jangan cakap lain buat lain. Jangan sampai rakyat meluat dengan segala janji-janji yang dicanangkan. 

“Pembangkang, rakan, penyokong dan sesiapa saja boleh menjadi sahabat, boleh juga menjadi musuh pada bila-bila masa. Bina negara ini dengan keikhlasan, keadilan dan kesungguhan. Insya Allah Malaysia akan berjaya. Demi agama bangsa dan negara,” katanya.

Sumber – https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/01/1199485/langkah-dubai-siapa-yang-mulakan-siapa-yang-gelabah


No comments: