Cubaan jatuhkan kerajaan elak siasatan rasuah - Kamal Amir



 

Percubaan menjatuhkan Kerajaan Madani yang digembar gemburkan sejak sebulan kebelakangan ini bukanlah kerana mahu membela orang Melayu, sebagaimana diuar uarkan para pemimpin pembangkang.



Bagi pemerhati politik, Datuk Seri Kamal Amir Kamal Hijaz, percubaan itu lebih kepada mengelak golongan oligarki maha kaya yang menguasai negara sejak berdekad lalu daripada disiasat pihak berkuasa.



Katanya, golongan berkenaan cukup tidak senang kerana akhirnya Deklarasi Permatang Pauh melawan rasuah yang diucapkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim 25 tahun lalu akan dijadikan dasar Kerajaan.



"Sejak seminggu dua ini saya nampak penguasa (pihak berkuasa undang undang) yang diamanahkan oleh rakyat untuk melaksanakan tugas mereka (telah melakukannya) sebaik mungkin



"Sebab itu mereka (pembangkang) merasakan seandainya mereka dalam kerajaan, mereka boleh campurtangan dengan penguatkuasa, mereka boleh campurtangan dengan mahkamah dan sebagainya.



"Hari ini mereka mereka tidak senang dengan apa yang dilakukan oleh Datuk Seri Anwar. Kalau zaman mereka, mungkin mereka campurtangan dalam separation of power.



"Bagimanapun era Datuk Seri Anwar beliau kata 'jangan lupa bahawa para penguasa yang ada hari ini, anda berada dengan PM yang berbeza'. Ertinya dia tidak akan campurtangan. Bila disiasat (para oligarki) terbongkar satu demi satu, mereka menyalahkan Datuk Seri Anwar," katanya.



Oleh itu, tambah Kamal Amir, pembangkang pada waktu ini mencuba sedaya upaya untuk mengabsahkan usaha mereka mendakwa pentadbiran PM Anwar zalim kerana telah mengarahkan siasatan kepada musuh politik.



Sedangkan, katanya, andai rakyat meneliti dengan cermat, terdapat individu yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memfailkan di mahkamah untuk menghalang siasatan tersebut, yang tidak wajar berlaku di sebuah negara demokrasi.



"Saya kata kalau seseorang hadapi tuduhan, biarlah disiasat. Kalau kamu buat jenayah terpulang polis nak siasat. Tetapi macam mana kamu nak cabar pihak berkuasa untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka untuk menyiasat? Bukan ada tuduhan pun lagi," katanya.



Selain itu, beliau juga tidak menyembunyikan kekuatirannya mengenai laskar siber pembangkang yang baru baru ini mencaci pasukan polis apabila menyiasat pihak yang cuba menimbulkan kegemparan 'Langkah Dubai' menjatuhkan Kerajaan Madani dengan pelbagai tohmahan.



Justeru dalam cubaan pembangkang menimbulkan suasana tidak menentu, Kamal Amir meminta rakyat agar terus menyokong Datuk Seri Anwar dalam perjuangannya memerangi rasuah. Katanya, jika ketirisan berjaya ditangani sepenuhnya maka rakyat akan dapat lebih banyak bantuan daripada kerajaan serta hidup dengan lebih bermaruah.



"Bagi saya, mereka (pembangkang) lakukan ini untuk mengusir Anwar dari anjung kuasa di Seri Perdana. Mereka yakin seandainya jawatan itu mereka miliki, maka siasatan dihentikan. Apakah rakyat bersetuju?



"Sedangkan kesan ketiadaan korupsi dan sebagainya, (rakyat mula rasai) limpahan kemakmuran negara. Kakitangan kerajaan dapat RM2000 bonus, subsidi sana sini. Bantuan Rahmah dan sebagainya," kata beliau lagi.

 

No comments: