Oleh: Abdullah Zaid
Tidak serik dengan kegagalan Langkah Dubai, laskar siber (cytro)
dan penyokong pembangkang menyebarkan pula propaganda kononnya hubungan antara
Perdana Menteri (PM) dan Yang di-Pertuan Agong keruh serta bakal menggugat
Kerajaan Madani.
Salah satu penyokong PN di media sosial berkata, Yang di-Pertuan
Agong dilihat merasmikan beberapa program tanpa kehadiran PM Datuk Seri Anwar
Ibrahim dalam beberapa hari ke belakangan ini, termasuk perasmian Menara
Merdeka 118 pada 10 Januari lalu.
Hakikatnya, kekangan itu berlaku berikutan PM harus berjumpa rakan
sejawatnya dari Singapura Lee Hsien Loong bagi menyaksikan penyambungan Projek
Rapid Transit System Link (RTS Link) antara Malaysia dan republik tersebut.
Menyifatkan penyokong pembangkang ketandusan idea, Ketua Angkatan
Muda (AMK) Pulau Pinang, Muhammad Fadzli Roslan yakin mainan persepsi yang cuba
dimomokkan itu semakin 'melalut' tidak akan diterima rakyat.
"Saya berpandangan isu ini (hubungan keruh) amat dangkal
sekali untuk dibuat modal politik, kerana PMX ada jadual dan tugas yang
berbeza.
"Selain itu, Agong sendiri bertitah tidak akan mencampuri
urusan politik sehingga habis tugasnya, jadi apa yang hendak mereka pusingkan?,"
katanya kepada Suara Keadilan.
Jelas Fadzli, sekiranya perkara tidak bersama PM itu berlaku
kepada Yang di-Pertuan Agong baharu, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang naik
takhta pada Februari ini maka agak logik juga untuk dijadikan bahan politik
pembangkang.
"Jika insiden melibat Agong yang baharu mungkin masuk akal
untuk diterima.
"Tetapi, berbaki beberapa hari sahaja lagi untuk pengumuman
Yang di-Pertuan Agong baharu, (maka) saya rasa itu tidak logik akan ada komplot
tebuk atap boleh berlaku," ujarnya lagi.