Pemfitnah tegar perlu 'disekolahkan' semula - Otai Reformis


 

Pelajar yang sering melakukan maksiat atau jenayah biasanya dihukum dengan dimasukkan ke pusat pemulihan akhlak untuk menjernihkan kembali sahsiah diri. Begitu juga penagih dadah dimasukkan ke pusat pemulihan.



Sehubungan itu, bagi Presiden Pertubuhan Kebajikan Otai Reformis Malaysia (Otai Reformis), Mustapha Mansor Amer Mohd Isa, para pemfitnah tegar dari kalangan penyokong serta laskar siber pembangkang juga perlu 'disekolahkan' semula.



Katanya, para pemfitnah tegar berkenaan tidak lagi mempunyai pemikiran yang rasional mengenai bangsa dan agama, selain mahu memporak perandakan negara dengan cubaan berterusan menumbangkan Kerajaan Madani.



"Saya saran kepada kerajaan yang ada, sementara ada kuasa, kepercayaan rakyat masih ada, tangkap mereka (pemfitnah). Masukkan dalam sekolah (pemulihan). Belajar balik. Macam mana negara ini, sistem apa," katanya.



Dalam pada itu, Mustapha juga menolak ungkapan melulu penyokong salah satu parti pembangkang Pas yang sering menyalahkan Kerajaan Madani kerana tidak berhukum dengan undang undang Islam.



Hakikatnya, ketika Pas berkuasa 2020 - 2022 lalu tiada satu pun undang undang negara yang dipinda untuk diselaraskan dengan hukum Islam sebenar.



"Negara ini sistem yang kita kena akui, kita mewakili (undang undang) dari penjajah (British)



"Belum sempurna Islam negara kita. Jadi undang undang masih banyak yang perlu dibaiki (tidak perlu salahkan kerajaan semasa)," katanya.



Mustapha turut memberi peringatan, sekiranya suasana fitnah melampau pada waktu ini tidak dibendung tidak mustahil negara akan mengukut jejak langkah negara Islam di Asia Barat yang porak peranda dilanda konflik berterusan.



Untuk rekod, Otai Reformis merupakan gerakan jalanan memperjuangkan agenda reformasi total pemerintahan sejak 1998.



Pertubuhan Kebajikan Otai Reformis Malaysia berjaya didaftarkan pada hujung tahun lalu dan Mustapha Mansor merupakan presiden pertama setelah pertubuhan tersebut memperolehi pendaftaran sah.