SIAPA NAK BAKAR MENTERIš„
Berhari-hari meroyan seorang aktivis maya (cyber activist) pembangkang selepas kena cuit dengan saya.
Ada pelbagai reaksi kepada langkah saya melayan kandungan-kandungan aktivis maya ini. Sebahagian besar menyokong (berdasarkan maklum balas di media sosial), segelintir merasakan seorang menteri tidak boleh bersuara.
Ada dua jenis yang berhujah menteri tidak boleh bersuara.
Pertama, mereka yang merasakan menteri mestilah menjaga standard sendiri dan tugas menjawab serangan aktivis maya ini adalah tugas cyber trooper. Saya rasa mereka kebanyakannya dari kalangan pengundi atas pagar.
Kedua, kumpulan yang menjawab “menteri tumpu buat kerja menteri”, seolah-olah memberi pencerahan itu bukan tugas menteri. Pada pemerhatian saya, kebanyakan yang berhujah begini adalah aktivis maya pembangkang.
Namun secara keseluruhannya, majoriti reaksi di media sosial menyokong langkah menangani dakyah pembangkang ini secara berdepan.
Sebab itu saya cuit seorang yang menggelarkan dirinya YB Viral. Dia bukanlah penting atau berpengaruh pun, tetapi reaksinya sebelum, semasa dan selepas dicuit menggambarkan watak sebenar aktivis maya pembangkang.
Sebelum dicuit, mereka adalah jenis yang suka mempertikaikan segalanya. Kalau pertikaian itu berasaskan fakta dan perspektif yang benar, saya kira itu boleh diterima.
Tetapi pertikaian yang dibawa berunsurkan maki hamun, jeritan dan emosi kerana mereka tidak faham pun isu-isu ekonomi yang cuba dibawa.
Semasa dicuit, mereka menggelabah dan menggelupur. Terbongkarlah watak mereka yang sebenarnya hanya berani baling batu sembunyi tangan.
Mereka tidak berani berhujah di depan, mereka lari jika dicabar dan mereka takut dengan tindakan undang-undang (kerana mereka tahu banyak kandungan mereka melanggar undang-undang jika dibawa ke mahkamah).
Selepas dicuit, mereka akan pusing untuk mengalih tumpuan kepada perkara-perkara picisan. Dalam kes YB Viral, hujahnya berkisar mengenai “debat dan podcast”. Konon podcast itu bukan debat, sedangkan semua orang tahu podcast adalah platform. Sebarang perdebatan boleh sahaja dibuat di mana-mana platform - dalam dewan, TV, radio atau podcast di internet. Debat itu maksudnya bersemuka (bukan menjerit maki hamun di cermin).
Itulah tujuan saya - untuk menunjukkan watak sebenar aktivis maya pembangkang.
Sebab itu saya telah merancang untuk memulakan podcast YBM (rasminya bermakna Yang Berhormat Menteri, tetapi podcast ini bermakna Yang Bakar Menteri).
Peluang bersemuka di podcast (yang dirakam pada sebelah malam) bertujuan memberi peluang kepada sesiapa sahaja bersemuka dengan saya (tanpa menggunakan peruntukan, kerana kemunculan di televisyen menggunakan wang rakyaf apabila melibatkan air time).
Podcast YBM terbuka kepada sesiapa sahaja - ahli akademik, penyokong kerajaan, rakyat biasa dan terutamanya aktivis maya pembangkang.
Selain dari mereka yang ingin tampil secara sukarela untuk peluang membakar menteri, saya juga akan mencari aktivis-aktivis maya pembangkang yang banyak memainkan dakyah untuk tampil.
Saya akan cari mereka, jemput dan beri peluang bersemuka. Mereka berpeluang membakar saya, saya juga berpeluang membakar mereka.
Bagi saya, budaya begini lebih baik dari budaya maki hamun dan pertikai perkara picisan seperti yang dibawa aktivis maya pembangkang sekarang.
Siaran podcast Yang Bakar Menteri (YBM) akan bermula pada 8 Januari 2024 setiap dua minggu.
Siapa yang berani menyahut cabaran untuk membakar menteri dan berhadapan risiko kena bakar?
Mangsa pertama YB Viral sudah terbakar dan biarkan dia kepanasan menjerit di depan cermin keseorangan.
Jika ada watak yang cocok, siapa orang pertama yang akan bersemuka dengan saya pada 8 Januari 2024 ini?
Sumber kenyataan
FB YB Rafizi Ramli