Kerajaan salur peruntukan RM9.4 juta bantu pekebun getah




 Susulan musim monsun, Kerajaan Perpaduan menyalurkan peruntukan berjumlah RM9.4 juta kepada 11,784 peneroka tanaman getah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).



Felda dalam satu kenyataan pada Selesa berkata, peruntukan bagi Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) itu diberikan kepada penerima yang layak di seluruh negara.



Ia jelasnya disalurkan melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) berjumlah RM800 bagi setiap peneroka tanaman getah dan diberikan dalam tiga fasa bermula pada Disember 2023 sehingga Februari 2024.



"Bayaran fasa pertama melibatkan nilai RM400 manakala fasa kedua dan ketiga masing-masing melibatkan nilai RM200. Kesemua bayaran ini akan dibuat secara terus ke akaun bank peneroka terlibat.



"Peneroka tanaman getah yang layak menerima bantuan ini ialah mereka dengan lot utama getah yang menghantar hasil ke pusat mengumpul getah Felda, mereka yang tiada hasil kerana isu buruh atau serangan penyakit pokok getah, serta mereka yang sedang dalam tempoh tanam semula bersama Felda," menurut kenyataan Felda.



Felda turut berkata, kerajaan berharap bantuan itu dapat meringankan beban peneroka tanaman getah terutamanya dalam menghadapi musim tengkujuh.



Agensi itu turut menzahirkan penghargaan atas keprihatinan kerajaan menyediakan peruntukan BMT untuk peneroka Felda yang sebelum ini ditanggung sepenuhnya menggunakan dana dalaman Felda.