Saya perhatikan ahli parlimen pembangkang (terutamanya dari BERSATU) sering bertanya mengenai agenda ekonomi Bumiputra yang dibawa Kerajaan Perpaduan.
Saya faham lenggok pertanyaan mereka, konon untuk menunjukkan mereka membela Melayu. Ikut hati, saya ingin jawab mudah sahaja:
“Insya-Allah kami tidak akan menunggang nama Melayu untuk beberapa kerat rembat duit Jana Wibawa yang akhirnya di-Ali Baba-kan kepada syarikat bukan Melayu”.
Semua pentadbiran Kerajaan Persekutuan mengaku ada agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputra. Soalnya ialah bagaimana, supaya ia mencapai matlamat dan membawa kebaikan kepada negara keseluruhannya.
Apa matlamat agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputra?
Orang lain mungkin melihatnya dari lensa politik semata-mata. Sebagai Menteri Ekonomi, fokus saya ialah meningkatkan sumbangan ekonomi Bumiputra memandangkan jumlah perusahaan Bumiputra adalah besar tetapi sumbangan ekonominya (secara relatif) masih ada jurang.
Daripada lebih sejuta entiti perniagaan di negara ini, hanya 3% adalah syarikat-syarikat besar, sementara sekitar 2% adalah syarikat bersaiz sederhana.
Sekitar 15% adalah syarikat kecil, sementara 80% entiti perniagaan adalah perniagaan mikro.
Majoriti pemilik entiti perniagaan mikro dan kecil ini (iaitu sekitar 95% dari entiti perniagaan berdaftar) adalah dari kalangan peniaga Bumiputra.
Oleh itu, usaha menskalakan perniagaan mikro, kecil dan sederhana agar mereka naik ke takuk lebih atas, dan usaha memperkasakan perniagaan Bumiputra, adalah satu usaha yang bertindih dan boleh digerakkan seiring.
Sebab itu, pandangan saya, dalam merangka dasar-dasar baru untuk memperkasa ekonomi Bumiputra, kita perlu menggunakan pendekatan-pendekatan baru.
Perniagaan Bumiputra mestilah berdaya saing dan boleh berdiri sendiri. Program kerajaan perlu berhati-hati untuk mengelakkan pergantungan kepada bantuan kerajaan yang boleh mengikis daya saing.
Itulah mesej saya kepada penerima-penerima geran bantuan Teraju dalam satu majlis baru-baru ini.
Mesej saya kepada perniagaan Bumiputra yang mendapat bantuan agensi kerajaan - fokuskan kepada 3P: “product, problem, people”.
Hanya perniagaan yang membangunkan produk (atau perkhidmatan) yang menyelesaikan/memenuhi kehendak pelanggan (“problem”) yang akan berdaya tahan dan ada kemampuan untuk diskalakan.
Hanya perniagaan yang mempunyai bakat yang berkemahiran (“people”) yang mampu membangunkan produk yang memenuhi tuntutan pelanggan.
Sementara agensi kerajaan terus membangunkan program untuk membantu ekosistem perniagaan Bumiputra, pengusaha Bumiputra pula mestilah membangunkan perniagaan berasaskan 3P yang saya sebut.
Barulah kita boleh mengelakkan tragedi Jana Wibawa berulang kembali.