Tingkatkan eksport pasaran baharu, ke Asia Tengah, Amerika Selatan'



Oleh: Abdullah Zaid


Kerajaan pada ketika ini sedang meneroka pelaburan baharu ke Asia Tengah dan Amerika Selatan bagi meningkat eksport negara.


Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH - Tambun) berkata langkah itu merangkumi eksport utama negara iaitu minyak sawit, produk elektrik dan elektronik (E&E) serta automotif


"Ia diperluskan ke pasaran bukan tradisional seperti Asia Tengah dan Latin Amerika, setakat ini jumlah eksport ke Asia Tengah ialah 24.7 peratus dan 2.3 peratus pula di Amerika Selatan.


"Selain itu, melalui kerjasama dengan Arab Saudi, UAE dan Mesir mereka telah bersetuju untuk dijadikan hub eksport negara ke Afrika," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail (PN - Kubang Pasu) mengenai perincian jumlah pelaburan semasa, hasil lawatan Perdana Menteri ke negara luar.


Mengulas lanjut, berkenaan dengan siri lawatannya, Anwar berkata, UAE melalui komitmen rakan sejawatnya Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan ketika ini telah menghantar dua rombongnya ke Malaysia bagi tindakan susulan.


"UAE ketika ini adalah pelabur besar Malaysia iaitu sekitar RM1.4 bilion, manakala Arab Saudi PIF Aramco telah bersetuju menambah pelaburan di Pengerang dan akan mengadakan mesyuarat lembaga di Malaysia melibatkan tiga menteri Arab Saudi.


"Aramco bercadang untuk datang ke sini dua minggu tempoh lawatan ke Arab Saudi untuk bermesyuarat dengan Petronas. Ia bukan MOU seperti yang dibimbangi (hanya di atas kertas) kerana tindakan susulan telah bermula untuk melaksanakannya," katanya.


Justeru, Perdana Menteri menggesa kementerian dan ketua negeri yang berkaitan untuk memastikan semua kelulusan projek itu dapat diselesaikan dengan segera.


"Hal ini kerana, kita mendapat laporan (daripada pelabur) semua (perjanjian telah) dipersetujui tetapi tahap proses kelulusan agak perlahan, ketimbang beberapa negara termasuk Vietnam," ujarnya lagi.

No comments: