PMX MEMPENGERUSIKAN MTPIN

 

Saya telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negara (MTPIN) Bil. 1 Tahun 2023 sebagai platform perbincangan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bagi menetapkan dasar, hala tuju dan perkara terkait perubahan iklim.

 







Mesyuarat memfokuskan mengenai beberapa perkara antaranya cadangan pengukuhan MTPIN sebagai platform tertinggi negara dalam menyelaras isu perubahan iklim. 


Malah, mesyuarat juga telah bersetuju dengan cadangan penetapan dasar berkaitan pelaksanaan mekanisme pasaran karbon negara. 


Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan memastikan mekanisme pasaran karbon negara adalah memenuhi prinsip-prinsip di bawah Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC) dan mengambikira kepentingan Kerajaan Negeri.


Sementelahan, saya juga akan mengetuai delegasi negara ke “World Climate Action Summit” pada 1 hingga 2 Disember 2023 yang diadakan bersekali dengan Persidangan Negara Ahli ke-28 UNFCCC (COP28) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu. 


Mesyuarat hari ini juga turut membincangkan cadangan pendirian negara bagi isu-isu utama yang akan dirundingkan oleh delegasi negara di persidangan tersebut.


Malaysia kekal teguh dengan pendirian bahawa negara maju perlu segera memenuhi komitmen bagi menggerakkan usaha negara-negara membangun dalam melaksanakan tindakan mitigasi dan adaptasi perubahan iklim.


Selaras dengan dasar kemampanan di bawah Malaysia Madani, Kerajaan Persekutuan bersama-sama kerajaan negeri dan pihak-pihak berkepentingan lain akan terus bekerjasama bagi  menangani isu perubahan iklim  secara holistik dan bersepadu. 


Ini merupakan antara inisiatif Kerajaan bagi memastikan kelestarian alam sekitar demi kesejahteraan generasi mendatang.


#MalaysiaMADANI



No comments: