Boikot APEC: Malaysia teliti, bergantung pendirian negara anggota



Oleh: Abdullah Zaid


Malaysia ketika ini sedang berhubung dengan negara Asia Pasifik lain termasuk China untuk mengetahui pendirian mereka sama ada mahu memboikot untuk hadir sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco, California, Amerika Syarikat pada bulan depan atau sebaliknya.


Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, berdasarkam maklumat yang diperoleh nanti Malaysia akan mengambil keputusan senada dengan negara-negara berkenaan.


"Mengenai APEC kita sedang meneliti ia badan ekonomi Asia Pasifik.


"Jadi kita hubungi negara Asia (termasuk) China dan kita akan ambil keputusan selaras dengan pendirian rakan-rakan negara lain dan Asia," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.


PM berkata demikian dalam menjawab soalan Ahli Parlimen Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Pas - Machang) yang bertanya apakah Malaysia akan memboikot persidangan APEC yang akan datang.


Untuk rekod, APEC ditubuhkan pada 1989, adalah satu forum ekonomi serantau bagi memanfaatkan kebergantungan yang saling meningkat ekonomi di rantau Asia Pasifik berpaksikan Amerika Syarikat (AS) sebagai negara utama.


Tema APEC kali ini mengangkat slogan 'Creating a Resilient and Sustainable Future for All' (Mencipta Masa Depan Yang Berdaya Tahan dan Mampan Untuk Semua).


Selain itu, blok ekonomi APEC disertai negara yang menyumbang hampir 40 peratus daripada penduduk global atau hampir 50 peratus daripada perdagangan global serta lebih 60 peratus eksport barangan AS.


Selain Malaysia, anggota APEC turut terdiri daripada Australia, Brunei, Kanada, Chile, China, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Korea, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Filipina, Rusia, Singapura, Taipei, Thailand, AS dan Vietnam.

No comments: