Isu sedang panas dan menggelegak dalam iklim politik negara menjelang pengundian PRN 12 Ogos depan tidak lain ialah berkaitan Menteri Besar Kedah, Sanusi Mohd Nor yang ucapannya didapati menghina dan memperlekeh kebijaksanaan Sultan Selangor dalam melantik Menteri Besar negeri tersebut.
Walaupun nama Sultan Selangor tidak disebut secara terang oleh Sanusi dalam ucapannya itu, tetapi adalah jelas beliau bermaksudkan Sultan Selangor tidak bijaksana dalam melantik Amiruddin Shari yang dilabelnya sebagai “cokia” atau tiada kualiti serta membandingkannya dengan Sultan Kedah.
Daripada ucapan Sanusi itu, macam-macam isu boleh dikembangkan bukan saja untuk memberi pukulan kepada Sanusi, tetapi juga untuk melumpuhkan Pas dan PN – antaranya berkaitan kebiadapan, keceluparan, tidak hormat Raja, melanggar pagar kesopanan dan kesusilaan dalam Rukun Negara, melaga-lagakan antara Sultan dan macam-macam lagi.
Tinjauan daripada pelbagai lapisan rakyat juga boleh dilakukan berkaitan ucapan Sanusi itu.
Kalau diumpamakan seperti lauk, isu Sanusi ketika ini adalah hidangan paling enak untuk dimakan dan senang-senang boleh membuatkan seseorang itu bertambah nasi dua tiga pinggan dibuatnya.
Tetapi, apakah PH/BN sebagai kerajaan yang bakal berhadapan dengan PN dan Pas dalam PRN enam negeri serta bercita-cita untuk menawan Kedah, benar-benar telah memanfaatkan isu berkaitan Sanusi itu?
Kenapa media kerajaan, khususnya TV tidak memainkan isu itu dengan seluas-luasnya?
Dalam hal ini, saya segera teringat kepada Allahyarham Mohamed Rahmat atau Tok Mat yang ketika memegang jawatan Menteri Penerangan, beliau didapati cukup cekap dan bijak memanfaatkan isu untuk kepentingan kerajaan, terutama ketika pilihan raya.
Bagi saya, dalam banyak-banyak Menteri Penerangan, beliau adalah yang paling cemerlang dari segi kecekapan mempromosi kerajaan, melindungi dan mendindingi Perdana Menteri serta melakukan serangan kepada pihak lawan.
Saya bukan saja berkawan baik dengan Tok Mat dan selalu berjumpanya untuk berbual-bual berkenaan isu politik, malah beliau juga hadir ke majlis perkahwinan saya.
Sesiapa yang kenal baik dengannya, pasti sukar untuk menafikan kebaikan hatinya dan perwatakannya yang mudah mesra serta boleh bergaul dengan sesiapa saja.
Alfatihah (dibaca) untuk Tok Mat.
Kita tentu ingat ketika PRU 1990 di mana isu tengkolok Kadazan yang dipakai oleh Tengku Razaleigh Hamzah telah diulang beribu kali dan berhari-hari melalui TV dengan pelbagai ulasan dan reaksi pelbagai pihak diutarakan mengenainya.
Walaupun ketika itu, Semangat 46 yang mengetuai blok pembangkang dilihat berpeluang cerah menjatuhkan BN yang dipimpin oleh Tun Mahathir Mohamad, tetapi tengkolok Kadazan yang dikaitkan dengan Kristian telah menjadikan segala-segalanya jadi terbalik di saat-saat akhir.
Isu berkenaan sangat berkesan dalam memenangkan BN kerana Tok Mat ketika itu begitu pandai menjadikannya sebagai modal serangan dan mengulang-ulang gambar dan video Ku Li memakai tengkolok Kadazan itu dalam siaran TV sehinggalah ke hari pengundian.
Hari ini ketika isu Sanusi sedang panas dan kalaulah Tok Mat masih hidup serta beliau memegang jawatan Menteri Komunikasi dan Digital, pasti terduduk Menteri Besar Kedah itu, Pas dan PN dibuatnya.
Pasti kita akan melihat isu itu akan dimain dan dikembangkan dalam pelbagai sudut, sambil segala macam orang memberi komen berkenaan dengannya dan di waktu yang sama, video ucapan Sanusi yang celupar dan biadap itu pula diulang-ulangnya beratus kali dalam sehari.
Hakikatnya, itulah kaedah atau teknik komunikasi media yang paling berkesan sekali untuk mempengaruhi pemikiran rakyat.
Sayang sekali, Menteri Komunikasi dan Digital sekarang, Fahmi Fadzil langsung tiada keupayaan sebegitu.
Sebab itu, isu Sanusi hanya sekadar jadi berita biasa dalam TV milik kerajaan.
Sudahlah di media sosial kita agak ketinggalan, melaui saluran TV elektronik yang siarannya sampai ke setiap rumah pun tidak dipergunakan sepenuhnya.
Seorang rakan yang pernah bertugas di syarikat media berkata, kalau Fahmi ada 10 peratus saja pun ciri seperti Tok Mat, ia sudah memadai sebagai permulaan untuk beliau tahu bagaimana untuk memanfaatkan isu Sanusi dalam suasana menjelang PRN tidak lama lagi. – ShahbudinHusin 15/07/2023.