Oleh: Noraini Nordin
ANALISIS: Walaupun tarikh pengundian bagi PRN enam negeri hanya akan
berlangsung kira-kira sebulan lagi daripada sekarang, riak-riak 'gelombang
panas' yang mahukan perubahan di Kedah sudah mula dapat dikesan.
'Kalih Kasi Sama dengan Kerajaan Pusat', 'Malulah dengan MB Sanusi
ni', 'kelaku tak reti nak jaga..'
Begitulah perbualan rambang yang penulis dengar dalam siri jelajah
Kedah sejak beberapa hari lalu.
Dalam perbualan rambang dengan pelbagai lapisan pengundi daripada
beberapa peringkat usia, tergambar jelas bahawa mereka tidak gembira negeri
Kedah ditadbir Perikatan Nasional (PN).
Mereka mahukan perubahan agar kehidupan juga berubah.
Nur Nazatul Nuha Mohamad Nazar, 23 tahun, seorang pelajar UUM berkata perubahan kerajaan amat diperlukan di Kedah bagi memastikan rakyat memperolehi kehidupan yang lebih selesa dan berkualiti.
Nur Nazuha
Katanya, rakyat Kedah perlu bekalan air bersih dan jalan-jalan
kampung yang berturap sempurna.
Terutama di kawasan pedalaman, katanya, masih banyak terdapat
jalan kampung yang tidak diperbaiki dan berlopak-lopak di sana sini hingga
membahayakan nyawa pengguna.
"Dengan perubahan kerajaan, di mana Kerajaan Negeri selari
dengan kerajaan pusat diharapkan semua masalah itu dapat diatasi," ujarnya
yang pertama kali mengundi pada PRU15 November lalu.
Beliau yang berasal dari Sungai Petani akan mengundi di Sekolah
Menengah Parit Panjang, DUN Kuala Ketil.
Seorang lagi penduduk, Ramli Jusoh, 73 tahun turut berharap ada
perubahan dalam PRN akan datang ini.
Menurutnya, di Kedah ini apa yang diperlukan rakyat ialah
pembangunan dan penyediaan kemudahan asas yang lebih baik.
"Diharap keadaan akan lebih baik bila berlaku pertukaran
kerajaan," kata beliau yang merupakan pengundi DUN Bukit Pinang.
Asmah Ismail, 63 tahun dari Taman Pinang Jaya juga sependapat,
perlunya perubahan di negeri jelapang padi itu.
Kata beliau, Kedah masih banyak kekurangannya berbanding
negeri-negeri lain.
"Kita mahu perubahan demi kehidupan lebih baik bagi keluarga
di masa hadapan nanti," jelasnya.
\
Zaharah Ismail
Manakala Zaharah Ismail, 45 tahun dari Bukit Selambau lebih
berterus terang mengatakan perubahan kerajaan amat diperlukan kerana kepimpinan
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang tidak boleh diterima sebagai Menteri
Besar.
Ujar beliau, mereka malu ada Menteri Besar yang suka menghina
orang secara terbuka serta tidak hormat kepada Raja.
"Perlakuannya amat tidak patut, dia bukan saja wajar mohon
ampun kepada Sultan Selangor, tetapi juga kepada Menteri Besar Selangor yang
dihinanya “cokia” itu," tegasnya.
Muhamad Saad, 49 tahun dari Bukit Pinang pula berasa malu dengan
perlakuan Sanusi yang ditontonnya melalui video yang tersebar luas ketika ini.
"Tiada adab beliau berkelakuan begitu dan menghina orang lain
sesuka hati," katanya.
Menurut Muhamad, sudah sampai masanya Kedah dipimpin oleh pemimpin yang lebih baik serta tinggi budi bahasa.
Habsah Ahmad
Habsah Ahmad, 60 tahun yang merupakan Ketua Wanita UMNO Merbok
dalam pada itu berkata, perangai Sanusi yang sejak dulu suka mempersenda dan
mencari salah orang lain merosakkan imej negeri Kedah.
Sikapnya yang begitu, kata beliau, tidak melayakkannya untuk terus
menerajui Kedah.
Sambil mengharapkan perubahan akan menjadi kenyataan pada 12 Ogos
nanti, beliau lebih bersetuju jika Sanusi memohon maaf secara bersemuka kepada
Sultan Selangor dan bukan sekadar mengutus surat saja kepada baginda.