KATA MAHATHIR, DIA KALAH KERANA RASUAH, ADAKAH INI BERMAKNA CALON PN YANG MENANG DI LANGKAWI SEBAB BERI RASUAH?




Agaknya disebabkan kekal terbelenggu oleh rasa kecewa dan masih gagal menerima hakikat kerana kalah sehingga hilang deposit di Parlimen Langkawi pada PRU15 lalu, Tun Mahathir Mohamad menceceh lagi tentang kekalahannya itu.


Katanya, beliau kalah kerana berlaku amalan rasuah kepada pengundi.


“Saya pernah bertanya salah seorang pengundi di sana (Langkawi) yang juga kawan saya, kenapa kamu tidak undi saya, dia jawab saya tidak beri dia duit.


“Saya tanya lagi, berapa duit dia dapat, dia jawab RM100.


“Saya tanya dia, apa boleh buat dengan RM100 dan dia jawab duit itu boleh dibelanja untuk dua hari.


“Pada pilihan raya lalu, saya hilang lebih 14,000 undi hanya kerana rasuah,” kata Tun Mahathir lagi.


Mengulas lanjut, Tun Mahathir berkata, pengundi seharusnya lebih bertanggungjawab terhadap negara dan tidak tunduk kepada politik wang.


“Jangan buang undi sebab kamu dapat duit (rasuah),” nasihatnya kepada pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos nanti.


Berita penuh mengenai Tun Mahathir itu ada di sini – https://m.malaysiakini.com/news/671902


Kepada Tun Mahathir, lain kali cakap biar terang dan jangan dengan ayat yang tergantung.


Mendakwa berlaku amalan rasuah kerana kalah memanglah mudah, tetapi siapa yang memberi rasuah itu?


Adakah ia dilakukan calon PN?


Atau calon PH dan BN?


Kalau beliau boleh bertanya kepada seorang pengundi Langkawi yang juga kawannya yang dikatakan menerima duit rasuah itu, kenapa tak tanya siapa yang jadi pemberi duit kepadanya?


Tetapi, dengan mendakwa beliau kalah kerana rasuah, tak secara langsung bermakna calon yang menanglah yang melakukan rasuah itu.


Takkan calon PH dan BN yang sama-sama kalah seperti Tun Mahathir pun memberi rasuah juga?


Dalam hal ini, kenapa Tun Mahathir tidak berani mengatakan secara terbuka calon PN yang menang di Langkawi, Mohd Suhaimi Abdullah telah memberi rasuah dan itu punca kemenangannya?


Adakah kerana Tun Mahathir sekarang sudah berbaik dengan PN dan Bersatu, maka ia tidak berani disebutkan secara terbuka?


Dengan main tuduh-tuduh rambang seperti ini, apa gunanya?


Apakah dengan mengaitkan kekalahannya dengan rasuah, ia bermakna semua calon Pejuang yang hilang deposit di seluruh negara pada PRU15 lalu juga disebabkan rasuah?


Lagi pula, kenapa Tun Mahathir tidak membuat laporan polis atau melakukan petisyen bantahan atas kekalahannya jika benar ada amalan rasuah berlaku?


Kenapa terus bising dan menceceh tak habis-habis di media saja? – ShahbudinHusin 14/07/2023.


https://shahbudindotcom.net/