CUEPACS puji PM prihatin kebajikan pesara kerajaan


 

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyatakan penghargaan kepada Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan terhadap kebajikan golongan pesara kerajaan.



Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat ketika mengulas keputusan kerajaan berkait isu pencen berkata langkah diumumkan Anwar akan memanfaatkan kira-kira 720,000 pesara kerajaan.



Merujuk kepada pemberian bantuan khas yang dinamakan sebagai Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP), Adnan berkata ia adalah langkah tepat bagi membantu golongan pesara yang terkesan dengan kos sara hidup semasa.



"PKKP yang diumumkan kerajaan membawa maksud bahawa bayaran kenaikan tahunan pencen pesara sebanyak dua peratus yang dinikmati sebelum ini dikekalkan. Ini adalah wajar memandangkan pencen golongan pesara tidak tinggi.



"Kita berharap bayaran dua peratus itu terus dikekalkan sehingga pelarasan gaji dilakukan. Apabila pelarasan dibuat, sekiranya kenaikan pencen pesara di bawah dua peratus, diharap kerajaan dapat mengekalkannya manakala jika melebihi dua peratus, kerajaan dapat mempertimbangkan kenaikan yang lebih tinggi," katanya dipetik.



Pada Rabu, Anwar memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju supaya pencen dan pencen terbitan bagi bulan Julai 2023 hingga Disember 2023 dibayar menggunakan amaun pencen asal.



Keputusan itu jelasnya selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa Seksyen 3 dan 7 Akta Penyelarasan Pencen (Pindaan) 2013 adalah tidak sah dan undang-undang sebelum pindaan adalah terpakai dengan sendirinya bagi tujuan penyelarasan pencen.

"Perbezaan amaun pencen semasa dengan amaun pencen asal terus dibayar dalam bentuk bantuan khas yang dinamakan sebagai PKKP bagi menjadikan amaun yang diterima oleh pesara sama seperti amaun pencen semasa iaitu amaun pencen pada Jun 2023," kata Anwar Rabu lalu.



Pada 27 Jun lepas, Mahkamah Persekutuan memutuskan pindaan undang-undang pada 2013 yang memperkenal skim pencen baharu dan melaraskan bayaran pencen setiap tahun dengan kenaikan dua peratus sebagai kurang menguntungkan pesara dan tidak berperlembagaan.