JANGKAAN KENAIKAN HARGA BARANG OGOS DEPAN SEKADAR PROPAGANDA PRN


Isu kenaikan harga barang pengguna yang didakwa akan berlaku bermula Ogos depan begitu menjadi bualan ketika ini, malah menjadi ketakutan bagi sesetengah orang, walhal ia hanyalah sekadar jangkaan sebuah persatuan berkaitan pengguna semata-mata.


Hakikatnya, jangkaan persatuan berkenaan bahawa barang-barang pengguna akan mengalami kenaikan sebanyak 20 peratus bermula Ogos ini hampir tiada asas sama sekali.


Ini kerana Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Salahuddin Ayub sendiri telah memberi jaminan tiada kenaikan terkini dalam harga barangan pengguna dalam negara.


Katanya, pihak KPDN sentiasa memantau perkara itu.


Selain itu, kata Salahuddin lagi, harga barang kawalan seperti gula, beras, minyak bersubsidi, telor dan ayam turut dikawal ketat oleh kerajaan agar tidak berlaku sebarang kenaikan.


Berdasarkan penilaian yang dibuat ketika Hari Raya Aidil Adha baru-baru ini pula, jelas didapati tiada rungutan kedengaran di media sosial berkaitan kenaikan harga barang.


Maknanya, harga barang pengguna adalah stabil dan tetap pada kadar yang tidak menimbulkan keresahan kepada rakyat.


Ini tentunya berbeza dengan keadaan ketika era pentadbiran sebelum terbentuknya kerajaan perpaduan di mana riuh rendah di media sosial pelbagai rungutan pada waktu itu mengenai kenaikan harga barang yang seolah-olah tiada kawalan.


Hakikat lain dan sebagai perbandingan, kadar inflasi juga menurun kepada 2.8 peratus pada Mei 2023 berbanding 3.3 peratus pada bulan sebelumnya.


Fakta ini dengan sendirinya bermakna harga barangan semakin menurun kadarnya.


Di samping pertumbuhan sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama tahun ini adalah dikira lebih baik berbanding beberapa negara seperti Indonesia 5 peratus, China 4.5 peratus dan Vietnam 3.3 peratus, kadar ringgit juga lebih baik berbanding minggu-minggu sebelumnya.


Dengan itu, di mana asasnya ada kenaikan harga barang-barang dijangka akan berlaku?





Tidak lain sebenarnya, dengan menyebut kenaikan itu dijangka bermula pada Ogos, ia adalah jarum halus yang bertujuan mencucuk virus kemarahan ke dalam jiwa rakyat menjelang pengundian PRN enam negeri pada 12 Ogos depan.


Berdasarkan fakta, blok pembangkang hampir tiada asas untuk merobek kepercayaan rakyat kepada kerajaan semasa ini.


Jika mahu dikira dan dengan apa yang telah dibuktikan, sudah banyak yang dilakukan kerajaan sejak tujuh bulan lalu untuk memberi lebih keselesaan kepada rakyat.


Tambahan lagi, sementara apa jua keputusan PRN nanti tidak menjejaskan sama sekali kedudukan sedia ada kerajaan perpaduan, sebaliknya ia amat penting untuk blok pembangkang atau PN untuk menghadapi PRU16 akan datang.


Bayangkan apa jadi kepada PN, Mahiaddin Md Yasin, Hamzah Zainuddin, Hadi Awang dan lain-lainnya jika PRN ini memberi keputusan yang tidak memihak kepada mereka?


Dengan menjadikan isu kenaikan harga barang yang dijangka bermula pada Ogos kerana hari mengundi 12 Ogos adalah sebahagian propaganda untuk meracuni dan membangkitkan kemarahan rakyat semata-mata.


Bertenang, semak fakta dan jangan sesekali terpedaya. – ShahbudinHusin 10/07/2023.


https://shahbudindotcom.net/2023/07/10/jangkaan-kenaikan-harga-barang-semata-mata-propaganda-prn.html



No comments: