Julai 26, 2023 18:22 MYT
Perdana Menteri
sebelum ini dilaporkan akan mengumumkan beberapa imbuhan tetap kepada penjawat
awam dalam tempoh seminggu dua lagi. - Gambar fail/BERNAMA
SEREMBAN: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan
Awam (Cuepacs) menjangkakan pengumuman berita baik kepada penjawat awam oleh
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 8 Ogos ini.
Presidennya Datuk Adnan Mat berkata kerajaan
memberikan komitmen tinggi bagi menambah baik kebajikan penjawat awam di negara
ini termasuk Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang sedang diguna pakai telah
dilaksana sejak 1 Nov 2002.
"Cuepacs
berterima kasih kepada Perdana Menteri dalam kenyataannya baru-baru ini iaitu
kerajaan sedang menilai dan akan mengumumkan sesuatu kepada penjawat awam dalam
waktu terdekat."Kami dimaklumkan ada satu perhimpunan penjawat awam
bersama Perdana Menteri pada 8 Ogos, mudah-mudahan pada pertemuan itu, ada
sesuatu untuk penjawat awam sebagaimana perkara kami bentangkan kepada Perdana
Menteri pada perjumpaan 18 Julai lalu," katanya.
Beliau berkata
demikian kepada pemberita pada Program Malaysia Madani Perkhidmatan Awam
Bersama Cuepacs dan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) Jabatan Perdana Menteri
di sini, hari ini.Adnan berkata Perdana Menteri telah mempengerusikan mesyuarat
berhubung keperluan khusus kepada penjawat awam baru-baru ini dan satu pasukan
kajian bagi sistem saraan ditubuhkan bagi memperhalusi pelbagai perkara bagi
menambah baik kebajikan kumpulan itu.
"Tuntutan kami dimasukkan dalam pasukan
kajian tersebut dan mungkin belum selesai lagi ketika ini, tetapi apa
diharapkan adalah satu bentuk kelegaan semasa untuk penjawat awam bagi
menampung perbelanjaan keluarga sementara menunggu kajian sistem saraan itu
dimuktamadkan," katanya.
Perdana Menteri dilaporkan akan mengumumkan
beberapa imbuhan tetap kepada penjawat awam dalam tempoh seminggu dua lagi.
BERNAMA.